Membawang Hari Ini

Cinta baru Pak Nil

PENGACARA versatil, Datuk Aznil Nawawi, 55, atau lebih sinonim disapa Pak Nil mengakui, dunia perniagaan menjadi cinta barunya kini.

Bercerita kepada Media Hiburan, pada peringkat awal minat dan komitmennya perniagaan masih samar-samar memandangkan dia tidak ada kemahiran luas dalam bidang tersebut, apatah lagi apabila membabitkan vendor lain.

Namun atas usaha dan bantuan semua pihak terlibat, akhirnya berjaya direalisasi.

Lalu pelancaran #bazaarpaknil Isnin lalu di Tempat Orang Lokal (Tol) di Kompleks PKNS, Shah Alam, menjadi penanda aras dan pembakar semangat buat Pak Nil untuk terus membantu pengusaha vendor tempatan mengembangkan perniagaan khususnya di pusat membeli-belah tersebut.

“Alhamdulillah akhirnya #bazaarpaknil dapat dibangunkan secara fizikal dan syukur, bazar yang mula beroperasi 15 Mac lalu kini memayungi 35 vendor yang menjual pelbagai barangan, daripada makanan sehinggalah kepada fesyen, perkhidmatan dan sebagainya.

“Idea mewujudkannya boleh saya kira berlaku dalam situasi yang tidak disangka-sangka. Awalnya, saya ada berbincang dengan pihak PKNS bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan lot kedai saya di Wisma Yakin November lalu.

“Namun dalam kami berbincang hal lain, muncul pula peluang lebih besar. Mereka memberi idea untuk merencanakan bazar niaga dan saya fikir itu sesuatu yang baik.

“Saya sahut cabaran mewujudkan #bazaarpaknil dan Alhamdulillah, ia berjalan lancar seperti yang diharap-harapkan,” katanya yang turut memasang angan bagi memantapkan lagi pengisian aktiviti di bazar tersebut menjelang Ramadan depan.

Sementara itu, #bazaarpaknil di Kompleks PNKS, Shah Alam beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Bermula dengan hashtag

Ditanya lebih lanjut penglibatannya dalam dunia perniagaan ini, Pak Nil yang sebelum ini sudah pun mempunyai jenama penjagaan wajahnya sendiri iaitu Aneel by Aznil Nawawi menjelaskan, bidang perniagaan vendor adalah sesuatu yang menguja dirinya.

Bintang hebat ini menerangkan, dia mengakui seronok apabila dapat berkongsi jenama sendiri dengan peniaga lain.

“Saya tidak pernah terfikir pun sebelum ini. Dari sekadar hashtag, ia berkembang dalam bentuk fizikal dan dikomersialkan.

“Saya wujudkan #bazaarpaknil di media sosial lebih tiga tahun lalu sebab peniaga online selalu ‘masuk’ di ruang komen saya untuk promosikan barang niaga.

“Pelik bila saya mahu share aktiviti seni dengan peminat, tetapi yang banyak komen ialah mereka yang mahu berniaga. Jadi saya blocked mereka.

“Kemudian saya beritahu, kalau nak promosikan barangan untuk berniaga, jangan ‘masuk’ di ruang komen media sosial saya.

“Sebaliknya, kalian boleh gunakan #bazaarpaknil. Alhamdulillah, kini hashtag tersebut sudah pun mencecah lebih 15 juta dan ia petanda positif,” terang Paknil.

Pak Nil juga sempat berseloroh yang dia makin keliru dengan hala tujunya dalam seni.

“Kalau nak dikirakan dengan komitmen terhadap bidang baru ini, pernah juga rasa keliru. Mana satu komitmen yang perlu aku bagi ni? Bisnes atau seni? Memang kalau nak diikutkan kerja dan fokus semakin bertambah. Tapi serius, saya rasa seronok.

“Sebab bila terlibat secara serius, baru saya faham it’s a good business,” akui Pak Nil yang sempat memberi pesan buat peminat agar ‘move on’ atas isunya sebagai juri baru di dalam Maharaja Lawak Mega 2017 menggantikan Najip Ali.

Harap peminat move on

Ketika diminta mengulas mengenai situasi sensasi yang melibatkannya dengan selebriti Singapura, Najip Ali yang ‘bermain-main’ di atmosfera hiburan tempatan lebih seminggu lalu, Pak Nil mahu peminat hiburan melupakan perkara itu kerana mereka yang terlibat sudah pun meminta maaf dan pastinya sudah sedar serta belajar atas kekhilafan yang dilakukan.

“Semua orang belajar daripada kesilapan. Kalau Najip Ali tidak buat salah, mungkin tidak ada orang yang akan belajar.

“Situasi sama juga mungkin boleh berlaku pada orang lain. In a way, saya positif dan ‘terima kasih’ pada Najip kerana buat salah sebab orang lain akan belajar.

“Dia sendiri sudah pun meminta maaf dan kesalahan paling besar pula adalah apabila kita tidak menerima kesalahan orang lain,” kata Pak Nil yang bakal mempunyai dua program istimewa sempena Ramadan ini.

Sebagai artis yang cukup matang dalam industri, Pak Nil berharap dan menasihatkan peminat dan pengikut artis terlibat dapat belajar sesuatu iaitu bila sudah buat salah, minta maaf, terima maaf itu dan move on.

“Pasaran kita kecil saja dan saling memerlukan. Saya sendiri pernah buat silap tetapi saya minta maaf dan saya dimaafkan. Seterusnya, lihat perjalanannya dan kita perlu belajar dari kesilapan tersebut,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");