PUTRAJAYA 12 April – Susulan kejadian pengeboman yang berlaku di Tanta dan Iskandariah, Mesir pada 9 April lalu, pihak Education Malaysian Egypt (EME) telah mengedarkan garis panduan keselamatan kepada semua pelajar Malaysia di Mesir pada 10 April lalu sebagai langkah berjaga-jaga.
Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan, pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Mesir juga telah mengaktifkan bilik gerakan bagi memantau situasi dan perkembangan semasa.
“Semua agensi di bawah kedutaan juga turut diarah memantau situasi serta melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa di kawasan penempatan pelajar Malaysia di Kaherah, Iskandariah, Tanta, Zagazig, Mansoura, Fayoum dan Assiut.
“Untuk rekod, sehingga 10 April 2017, jumlah pelajar Malaysia di Mesir adalah seramai 454 orang di Tanta manakala 797 orang lagi di Iskandariah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kementerian tersebut turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta tidak mendekati kawasan berisiko tinggi yang terdedah kepada bahaya keganasan seperti gereja dan balai polis.
Sekiranya menghadapi masalah, pelajar diminta segera menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Mesir melalui nombor +201200276388. – BERNAMA