Jenayah

Enam lelaki mengaku tidak bersalah terlibat jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli dan telah bergaul dengan ahli kumpulan jenayah terancang Geng William.

Low Sing Hwa, 30, Ang Boon Leong, 40, Lim Sin Chye, 45, Tham Hock Ann, 37, Liew Chee Hwa, 30, dan Choo Jia Lerk, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan.

Mengikut pertuduhan, empat daripada mereka iaitu Low, Ang, Lim dan Tham didakwa telah menjadi anggota Geng William di daerah Kuantan, Pahang antara Januari 2015 hingga 4 Feb 2017.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah subseksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Dua lagi tertuduh iaitu Liew dan Choo didakwa bergaul dengan Geng William tanpa sebab pada April 2015 hingga 20 Nov 2016 di tempat sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130Y Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Ashraf Md Kamal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana penahanan semua tertuduh dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mahkamah juga membenarkan permohonan pendakwaan supaya kesemua tertuduh, diwakili peguam S.Sundarajan, dibicarakan bersama kerana ia melibatkan saksi yang sama.

Mahkamah menetapkan tiga hari bermula 31 Mei hingga 2 Jun untuk perbicaraan.

Pada 30 Dis 2016, Low dan Tham dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, berhubung kes penculikan seorang ahli perniagaan, Datuk Chin Yoke Choon, 54, bagi mendapatkan wang tebusan RM19 juta di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pada 26 Dis 2015.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");