Berita Hari Ini

Ganjaran Motosikal Untuk Kehadiran Penuh Di Sekolah

BATU PAHAT: Sebuah sekolah menengah di sini mencetuskan satu idea menarik untuk mencatatkan rekod kehadiran pelajar 100 peratus.

Seramai 1,266 pelajar SMK Senggarang berpeluang mendapatkan sebuah motosikal baharu sekiranya mereka mencatatkan kehadiran penuh.

Empat motosikal dengan jumlah keseluruhan bernilai RM13,600 ditawarkan.

Tahun lalu, sekolah di luar bandar itu mencatatkan kehadiran 92 peratus.

Pengetua sekolah, A.S Aziz Salem berkata, ia merupakan cetusan idea penolong kanan sekolah, Norasyidah Mohd Rasip.

“Sekolah perlu mencari jalan untuk terus mengurangkan jumlah murid ponteng sekolah yang menjadi masalah serius,” katanya kepada The Star.

Aziz berkata, inisiatif tersebut disokong penuh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, sambil menambah bahawa kesemua motosikal ditaja oleh seorang bekas pelajar yang kini ahli perniagaan, Datuk A. Halim Mohamed.

Idea memberikan motosikal sebagai ganjaran kepada pelajar nampaknya berhasil.

“Terdapat 800 pelajar yang mencatatkan rekod kehadiran 100 peratus,” kata Aziz.

“Januari lalu, sekolah mencatatkan kadar kehadiran 96 peratus, diikuti 93 peratus pada Februari dan 94 peratus pada Mac,” tambahnya.

Pemenang bagi suku pertama tahun ini adalah Mohamad Nur Rahimi Wagini, 17, yang mencatatkan kehadiran 100 peratus dari Januari sehingga Mac, dan tiada yang lain lebih gembira daripada ibunya, Saniah Sulong, 54.

“Selama ini anak lelaki saya berjalan kaki ke sekolah. Saya gembira dia kini boleh menaiki motosikal ke sekolah,” katanya.

Aziz berkata, cabutan pemenang bertuah akan dibuat setiap dua atau tiga bulan sekali dalam kalangan pelajar yang mencatatkan kehadiran penuh.

“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk memenuhi KPI Kementerian Pendidikan bagi mencapai kadar kehadiran 95 peratus di sekolah,” tambahnya.

Halim berkata, beliau sentiasa mahu yang terbaik untuk pelajar-pelajar di sekolah lamanya.

“Tahun lalu, saya menaja 16 motosikal dalam beberapa majlis seperti Maulidur Rasul, dan cabutan hadiah bertuah dalam kalangan sekolah-sekolah di Senggarang,” katanya, memetik sumber mStar Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");