Berita Hari Ini

‘Global Zakat Game’ sasar penyertaan lebih 100 SMK di Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Lebih 100 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disasar menyertai pertandingan ‘Global Zakat Game’ yang bertujuan meningkatkan kefahaman tentang fiqh zakat secara santai.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Abdul Hakim Amir Osman berkata permainan itu merupakan satu kaedah baharu bagi menyampaikan maklumat zakat kerana ia direka agar mudah difahami di semua peringkat umur.

Katanya, pertandingan yang menggunakan media papan permainan itu juga merupakan satu usaha yang dilakukan oleh PPZ-MAIWP bagi memastikan kefahaman dan kesedaran berkenaan zakat terus meningkat dalam kalangan masyarakat Islam.

Berucap melancarkan pertandingan itu di sini Khamis, Abdul Hakim berkata pertandingan itu yang bermula semalam adalah terbuka kepada penyertaan warga pendidik daripada SMK sekitar Kuala Lumpur.
“Kami di PPZ-WAIWP melihat bahawa warga pendidik pada masa sekarang bukan hanya berperanan sebagai guru di sekolah malah mereka turut memainkan peranan yang besar dalam pembentukan masyarakat bagi melahirkan masyarakat yang berguna untuk agama dan negara,” katanya.

“Global Zakat Game’ merupakan permainan yang diubah suai daripada permainan Saidina hasil idea daripada pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berdasarkan sukatan pelajaran subjek Pendidikan Islam tingkatan dua dan tiga.

“Setiap sekolah hanya perlu menghantar dua orang wakil dalam pertandingan akhir yang akan diadakan pada 17 Mei ini dan pemenang akan diumumkan pada hari yang sama,” katanya.

Pertandingan yang julung kali diadakan itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan ditaja Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Pengarah JPWPKL Datuk Foziah Buang berkata pertandingan itu diadakan dengan matlamat mendedahkan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran kepada guru-guru Pendidikan Islam di dalam kelas dengan beberapa aktiviti berkaitan dengan kepentingan berzakat.

“Adalah diharapkan agar pelaksanaan program ini akan dapat mencapai semua objektif yang telah ditetapkan berkonsepkan 2 dalam 1 iaitu benar-benar memberi manfaat kepada Jabatan Pendidikan dan juga orang ramai,” katanya.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM yang juga pereka ‘Global Zakat Game’ Prof Madya Dr Azman Ab Rahman berkata beliau mengambil masa tiga bulan untuk mereka permainan itu sebelum diperkenalkan pada Oktober tahun lalu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");