Isu Panas

GST:Nurul Izzah Jangan Kelirukan Rakyat

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar diminta berhenti mengelirukan rakyat dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sebenarnya diakuinya sendiri menjadi sistem terbaik untuk ekonomi negara.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Fahariyah Md. Nordin berkata, Nurul Izzah juga perlu sedar rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dengan apa sahaja kenyataan negatif tentang isu GST.

“Setelah diserang bertalu-talu apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Pakatan Harapan akan meneruskan GST sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, kini dia cuba menjernihkan keadaan mengelirukan rakyat kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba memesongkan perhatian daripada salah urus mereka terhadap sumber awam melalui berita palsu.

“Mungkin Nurul Izzah terlupa apa yang diperkatakan semasa berucap di ceramah anjuran Parti Pribumi Bumiputera Malaysia (PPBM) di Pulau Pinang selain pelbagai kenyataan sebelum ini.

“Sesungguhnya, rakyat sudah muak dan jelik dengan sandiwara politik pembangkang yang sering mengeluarkan kenyataan tidak serupa bikin dan kemudian menyalahkan orang lain tanpa segan silu,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Sebelum ini, Nurul Izzah mengumumkan akan mengekalkan GST jika Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyifatkan pembangkang gemar membuat ‘pusingan U’ selepas mengumumkan akan mengekalkan GST jika berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.

Datuk Seri Najib juga berharap pengundi di Malaysia memahami sikap pembangkang yang tidak bercakap atas realiti sebenar menguruskan kewangan negara.

Dalam pada itu kata Fahariyah, pembangkang sebenarnya malu untuk mengakui hakikat sebenar bahawa pelaksanaan GST adalah mekanisme terbaik demi ekonomi negara.

“Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat untuk berfikiran matang dan tidak mudah mempercayai apa yang diperkatakan oleh pihak pembangkang kerana telah banyak terbukti kenyataan mereka hanya satu manipulasi mengelirukan rakyat bagi menyemai sentimen kebencian kepada kerajaan sedia di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib.

“Saya juga mencadangkan agar Nurul Izzah memohon maaf kepada penyokong mereka yang telah bermati-matian berdemonstrasi di jalanan membantah GST kerana rupanya jauh di sanubari pembangkang, mereka juga mahu melaksanakan GST,” jelasnya.

Kutipan GST dilihat sebagai mekanisma terbaik kerajaan dalam membantu rakyat termasuk memberi penekanan meningkatkan taraf hidup dan keselesaan bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ini kerana, hasil kutipan itu dikembalikan kerajaan kepada rakyat dalam bentuk program bantuan antaranya seperti Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, Rumah Mesra Rakyat, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan dan nelayan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");