Berita Hari Ini

Hampir 1,600 kanak-kanak tidak mendapat suntikan vaksin tahun lepas – Dr Hilmi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan hampir 1,600 individu tidak mendapat suntikan vaksin tahun lepas berbanding 1,500 pada 2015, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kes melibatkan beberapa negeri termasuk Perak, Kedah, Pahang, Kelantan dan Selangor.

“Bagaimanapun, 95 peratus masyarakat di negara ini mendapat suntikan vaksin dan jumlah itu masih tinggi dan bertepatan dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) yang ingin tahu usaha KKM dalam menyalurkan penerangan berkaitan suntikan vaksin kepada masyarakat.

Dr Hilmi berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat berhubung penggunaan vaksin termasuk melancarkan Galakan Imunisasi 2016-2020, kempen kesedaran penggunaan vaksin, ceramah, bengkel dan penerbitan artikel berkenaan perkara itu yang diedarkan di klinik-klinik kesihatan seluruh negara.

“KKM juga bekerjasama dengan Persatuan Pediatrik Malaysia dengan membangunkan laman web ‘Immunise For Life’ sejak 2013 untuk memberi maklumat berkenaan penyakit yang boleh dicegah melalui suntikan vaksin,” katanya.

Dr Hilmi berkata setiap vaksin yang berdaftar dengan kementerian telah melalui pelbagai proses penilaian dari segi kualiti dan keselamatan sebelum digunakan di negara ini.

Beliau juga mengakui kementerian menerima 955 laporan berhubung kesan sampingan akibat suntikan vaksin tahun lepas namun kesannya diklasifikasikan sebagai ‘mild reaction’ seperti bengkak di tempat cucuk, demam dan pening.

Kepada soalan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) mengenai implikasi pengambilan vaksin, Dr Hilmi berkata beberapa penyakit seperti cacar dan polio berjaya dirawat menggunakan suntikan itu.

Memberi contoh penyakit difteria, beliau berkata lima kematian yang dicatatkan daripada 30 kes tahun lepas adalah disebabkan tiada imunisasi diberikan kepada pesakit.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");