SASARAN Pulau Pinang untuk terus kekal di Liga Super musim hadapan menjadi keutamaan selepas melihat harapan untuk mara automatik ke Piala Malaysia 2017 terlalu tipis.
Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata, beliau tetap memuji kesungguhan pemainnya di dalam menghadapi Kelantan yang dibarisi import berkualiti seperti Mohammed Ghaddar.
Menurutnya, keputusan tewas 5-1 kepada pasukan pantai timur itu Sabtu lalu perlu diterima malah beliau mahu membuat persiapan rapi sebelum bertemu JDT pada perlawanan akhir pusingan pertama liga pada 26 April ini di Stadium Batu Kawan.
“Saya berharap pemain-pemain utama di barisan pertahanan seperti Mafry Balang akan kembali lebih cepat termasuk Reinoldo Lobo untuk kami menyiapkan pasukan sebelum menghadapi Pendahulu Liga Super, JDT nanti.
Dengan tempoh yang ada lebih lama ini, saya berharap mampu menyediakan satu skuad utama lebih baik,” katanya memetik sumber Sinar Harian.
Menurutnya, pada perlawanan Sabtu lalu, Pulau Pinang berjaya mengawal permainan dan melakukan serangan namun kegagalan jentera serangan menterjemahkannya dalam bentuk jaringan membuatkan mereka terpaksa berputih mata.
“Pulau Pinang berusaha untuk bangkit namun Ghaddar cukup cemerlang dan menyinar di dalam membaca kelemahan benteng kami. Kekalahan ini juga berpunca dari kelalaian pemain kita sendiri.
“Ketiadaan Mafry yang digantung perlawanan termasuk Lobo yang masih belum cergas sepenuhnya nyata memberi kelebihan kepada Kelantan,” katanya.