Membawang Hari Ini

Hati Ummi Nazeera tersentuh di India

KUALA LUMPUR: Pelakon Ummi Nazeera mengakui, begitu terkesan melihat kesungguhan kelompok peniaga kecil mencari rezeki, yang membuatkan hatinya tersentuh ketika bercuti bersama keluarganya di India, baru-baru ini.

Memetik sumber Berita Harian Online, Ummi berkata, pada mulanya, dia sedikit terganggu apabila didekati peniaga kecil yang memintanya supaya membeli barangan yang dijual meskipun beberapa kali menolak dengan cara baik.

Bagaimanapun, nasihat ibunya supaya sentiasa bersyukur dengan limpahan rezeki yang diberikan Allah, membuka luas matanya seterusnya menyedari, hanya itu cara yang mereka ada untuk menampung hidup.

“Mereka tidak berputus asa meyakinkan saya dan ibu supaya membeli barang yang dijual. Biarpun disuruh berhenti, mereka tetap datang dan merayu supaya kami mendapatkan barangan yang dibawa.

“Pada mulanya, saya agak terganggu kerana tidak biasa dengan situasi itu. Namun, pesanan ibu supaya jangan marah kerana itu cara mereka mencari wang untuk meneruskan hidup, menginsafkan diri ini.

“Ibu juga menasihati saya supaya membantu mereka walaupun sedikit kerana ia akan menggembirakan hidup orang lain,” katanya menerusi satu catatan di Instagram.

Ummi baru-baru ini, memuat naik rakaman video dirinya dihampiri beberapa peniaga kecil yang sedang memujuknya membeli barangan yang dijual menerusi Instagram, ketika sedang bercuti di beberapa lokasi di India.

Selain berkongsi pengalaman, pelakon drama Nahu Rindu itu mengakui, kagum dengan kesungguhan rakyat di negara itu yang kebanyakannya hidup daif tetapi tidak berputus asa mencari rezeki demi sesuap nasi.

Ummi berkata, sebelum berlepas ke India, tunangnya yang dikenali sebagai Dr Izzar turut berpesan supaya mengamati persekitaran negara itu kerana dari situ, banyak perkara baharu akan dipelajarinya mengenai kehidupan.

“Kita kagum melihat kecantikan dan kehebatan seni bangunan Taj Mahal tetapi di sekelilingnya, ramai yang hidup melarat. Tunang saya berpesan, jika ke India, amati suasana dan persekitarannya.

“Saya akui sedih melihat masyarakatnya yang hidup daif dan pengalaman itu begitu berharga buat diri dan keluarga,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");