Berita Hari Ini

Ikan Tapah ‘Gergasi’ Bikin Gempar

JERANTUT: Empat hari lalu, penduduk Kampung Jerantut Feri digemparkan dengan kemunculan ikan tapah seberat hampir 50 kilogram dan sepanjang 1.5 meter yang ditangkap oleh salah seorang nelayan darat di situ.

Nelayan berkenaan, Roslan Mohamad Napiah, 45, berkata, dia menangkap ikan itu menggunakan sauk besar dikenali sebagai candit.

Roslan yang bekerja sendiri memberitahu, Isnin lalu dia turun ke sungai jam 10.30 pagi untuk meninjau keadaan sangkar ikan miliknya yang dikongsi bersama rakan.

Tambahnya, selepas melihat sangkar ikannya, dia kemudian mencandik ikan di sungai menggunakan bot dan candik miliknya.

“Masa tengah candik ikan, tiba-tiba candik saya direntap kuat. Lepas tu saya tengok ikan yang tersangkut pada candik adalah ikan tapah.

“Disebabkan disentap agak kuat, saya terlepas candik tu. Masa tu kecewa juga. Tapi dalam 15 minit kemudian saya nampak candik saya tersangkut pada sangkar ikan.

“Saya tengok ikan tu masih lagi tersangkut pada candik. Disebabkan tak boleh bawa bot ke situ, saya pun berenang dan tarik candik ke tebing, tangkap dan letak ikan tapah dalam bot,” katanya.

Roslan berkata, selama lebih lima tahun menjadi nelayan darat, itulah kali pertama dia melihat dan menangkap ikan tapah sebesar itu.

“Saya kemudian menyeberang ke tebing sungai belakang rumah dan panggil isteri untuk sama-sama angkat ikan tapah tu.

“Ikan itu mempunyai kepanjangan melebihi ketinggian saya, ekor masih mencecah tanah walaupun kepala berada di bahu saya,” katanya.

Menurutnya lagi, berita penangkapan ikan tapah itu tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan sebaik dinaikkan ikan itu, penduduk mula mengerumuni rumahnya.

“Saya minta bantuan rakan dan mereka cadang saya jual ikan tu ikut kilo kepada penduduk. Kami menjualnya di simpang masuk tapak pasar malam Jerantut Feri.

“Kami timbang ikan tu dan dapati beratnya cecah lebih kurang 50 kilogram. Sekilo ikan tapah saya jual RM40 dan telah terjual sebanyak 30kg.

“Saya anggap ia rezeki kami dan anak. Wang saya peroleh dapat saya belanja untuk keluarga,” katanya.

Roslan berkata, ikan tapah yang ditangkapnya itu betina berdasarkan telur seberat dua kilogram yang ditemui dalam perutnya.

“Telur ikan tu saya agih kepada rakan yang bantu jual. Saya ambil bahagian kepala ikan untuk dimakan bersama keluarga,” katanya.

Penangkapan ikan tapah besar itu sekali gus menaikkan nama Roslan yang juga dikenali sebagai Lan Tapah kerana dia sering berjaya menangkap ikan tapah yang jarang diperoleh itu.

Sementara itu, isteri Roslan, Mastura Mohamad Salleh, 43, pula berkata, walaupun sudah tiga kali masak, namun bahagian kepala ikan tapah yang dibawa balik suaminya itu masih belum habis dimakan.

“Suami bawa balik separuh bahagian kepala ikan tapah dan separuh lagi dijual. Setakat ini saya dah goreng, masak gulai asam rong dan gulai tempoyak.

“Masih ada lagi baki ikan tu dan saya simpan untuk dua anak kami di asrama. Lepas ni saya nak masak gulai lemak cili api pula,” kata ibu kepada tujuh anak itu.

Bercerita tentang isi ikan tapah itu, Mastura berkata, teksturnya seakan-akan ayam, manakala kulit ikan itu agak liat berbanding ikan tapah yang bersaiz lebih kecil.

“Disebabkan susah nak dapat ikan ni, saya cadang nak cuba pelbagai resipi. Lepas ni entah bila boleh rasa lagi,” katanya.

Mastura berkata, sebaik berita penemuan tapah besar itu, rumahnya dikunjungi jiran yang datang melihat dan bergambar.

Dalam pada itu, seorang lagi nelayan darat sambilan Kampung Nyior, Pedah, di sini, Zaidi Basar, 45, berkata, penemuan ikan tapah seberat 50 kilogram itu pernah berlaku sekitar 17 tahun lalu.

“Pada 2000 ada salah seorang penduduk sini dapat tangkap ikan tapah seberat itu. Ia memang perkara yang jarang-jarang berlaku.

“Bila ada ikan sebesar itu, memang penduduk teruja. Malah dalam kalangan nelayan darat, kami gelar orang dapat ikan sungai besar sebagai ‘kaya hindustan’ kerana tuah dan keuntungan sementara yang diperoleh mereka,” katanya.

Zaidi berkata, ikan besar kebiasaannya akan muncul awal tahun iaitu dari Januari sehingga April.

“Namun ia bergantung kepada air sungai sama ada besar atau surut. Ada jenis ikan besar muncul ketika air surut dan ada juga jenis ikan muncul ketika air besar,” katanya.

Bercerita pengalamannya menjadi nelayan darat sejak lebih 30 tahun, Zaidi berkata, dia sendiri pernah menangkap ikan tamalian seberat 34 kilogram sekitar bulan lalu di mana ikan itu terpaksa dilepaskan kerana penangkapan spesies tamalian masih dalam kawalan.

“Terdapat akta yang tidak membenar kami tangkap dan jual ikan tamalian bermula Januari sehingga April kerana ketika ini, ikan yang hampir pupus itu dalam tempoh bertelur dan membiak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lada, Mazlan Abd Malek pula berkata, tapah besar sukar diperoleh dan bergantung kepada nasib.

“Jika zaman dahulu, ikan tapah mudah didapati sehinggakan dijual murah. Namun sekarang harganya boleh cecah lebih RM45 sekilo.

“Bukan sahaja ikan tapah, malah ikan sungai lain juga. Biasa ikan besar naik lepas banjir. Tambahan pula pada awal tahun ini kemungkinan ikan-ikan itu hendak balik ke lubuk asal mereka untuk bertelur dan secara kebetulan ditangkap oleh nelayan di sini,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");