Berita Hari Ini

India minat beli pesawat MiG-29 dari Malaysia

NEW DELHI: India telah menyatakan minat untuk membeli jet pejuang MiG-29 daripada Malaysia dengan menaik taraf pesawat itu untuk kegunaan tentera udara negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cadangan tersebut adalah antara aspek kerjasama ketenteraan yang dipersetujui antara Malaysia dan India.

Dalam hal ini, Kementerian pertahanan (Mindef) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melihat bentuk kerjasama, termasuk pengendalian pesawat tempur Sukhoi dan peralatan ganti pesawat berkenaan, katanya.

“Ada juga kemungkinan mereka akan beli pesawat MiG-29 kita, untuk mereka pasang pulih. Sebagai timbal balas, kita menerima peralatan ganti untuk program pesawat Sukhoi kita,” katanya pada sidang media di akhir lawatan enam hari beliau ke India yang bermula 30 Mac di Chennai.

Menurut majalah penerbangan ketenteraan, ‘AirForces Monthly’, TUDM pada 1995 telah memperoleh 18 buah jet pejuang MiG-29N dari Russia dan pada ketika ini terdapat 10 buah MiG-29N dan dua pesawat latihan MiG-29NU dalam asetnya.

Najib juga berkata lawatan ke India kali ini merupakan satu kejayaan dalam bidang pelaburan antara kedua-dua negara, di mana sebanyak 31 Memorandum Persefahaman (B-to-B) telah dimeterai dengan jumlah pelaburan sebanyak US$35.99 bilion (RM159.26 bilion).

Kerjasama yang dimeterai meliputi pembinaan pelabuhan, jalan raya, pembangunan tenaga solar, pembangunan bandar pintar, taman teknologi, pembangunan minyak sawit dan kelapa serta pendidikan tinggi.

Di samping itu, Syarikat Topworth Group dan Samarth Group dari India telah menyerahkan Surat Hasrat Melabur (LOI) untuk pelaburan berjumlah US$380 juta (RM1.6 bilion) di Malaysia, tambah beliau.

Syarikat Samarth, yang merupakan pengeluar pelbagai produk perubatan kritikal bercadang melabur US$80 juta (RM352 juta) di Iskandar Malaysia, Johor, manakala Topworth pula merupakan pengeluar aluminium foil untuk pembungkusan ubat dengan pelaburan berjumlah US$300 juta (RM1.32 bilion) di Bintulu, Sarawak.

Najib juga berkata Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan enam pakej pembinaan jalan raya sepanjang 3,000km di Rajashtan dengan anggaran pelaburan US$1.5 bilion (RM6.5 bilion).

“Lawatan saya ke Jaipur menjelaskan kesungguhan Malaysia dalam projek pembinaan jalan raya di Rajashtan di mana model yang akan dilaksanakan oleh Malaysia bakal menjadi contoh kepada negeri-negeri bersebelahan Rajashtan,” katanya. — BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");