Berita Hari Ini

Indonesia Sedia Bantu Atasi Masalah Sijil Halal

JAKARTA: Indonesia akan mencari kaedah terbaik dalam memudahkan urusan larangan halal dari Malaysia memasuki negara itu tanpa melalui proses yang rumit sekarang, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kesediaan Indonesia itu, katanya dimaklumkan oleh Menteri Desa, Pembangunan Wilayah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia, Eko Putro Sandjojo di sini.

“Isu halal ini sudah lama tertangguh untuk diselesaikan, barang-barang halal dari Indonesia boleh masuk ke Malaysia dengan mudah kerana sijil dan logo halal yang dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Tetapi bagi barang halal Malaysia yang diluluskan Jakim tidak dibenarkan masuk ke pasaran Indonesia, ia perlu mendapatkan sijil dan logo halal dari MUI kerana mereka tidak iktiraf sijil dan logo yang dikeluarkan oleh Jakim,” katanya.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Eko Putro di sini, malam tadi.

Turut hadir Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Mustapa berkata proses untuk mendapatkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh MUI mengambil masa antara satu dan dua tahun dan ia melibatkan kos yang tinggi sekali gus menimbulkan kerumitan kepada pengusaha industri produk halal dari Malaysia.

“Keadaan itu berbeza dengan Malaysia yang mengiktiraf produk halal dari Indonesia memasuki negara ini tanpa memerlukan proses yang panjang,” katanya.

Mustapa berharap masalah sijil dan logo halal itu dapat diselesaikan segera kerana pasaran bagi produk halal di Indonesia adalah besar.

Dalam pertemuan tersebut, Mustapa dan Eko Putro turut membincangkan mengenai kerjasama dua hala bagi meningkatkan pelaburan di kedua-dua negara.

“Malaysia adalah negara kelima terbesar melabur di Indonesia khususnya dalam industri perbankan, kelapa sawit dan telekomunikasi,” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata perkara lain yang dibincangkan ialah mengenai usaha untuk membangunkan kawasan sempadan yang melibatkan Sabah dan Sarawak di Malaysia dengan Kalimantan di Indonesia. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");