Perak Hari Ini

Isu Agama, Budaya Jadi Ancaman Terhadap Keamanan Negara-Sultan Perak

IPOH : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa latar belakang, ketenteraman awam dan keamanan negara boleh terjejas disebabkan oleh faktor-faktor agama, kaum dan budaya. 

Malah titah Baginda ancaman terhadap ketenteraman awam dan keamanan negara berlaku dalam berbagai bentuk yang memerlukan langkah komprehensif bagi menanganinya.

“Isu-isu agama, kaum dan budaya yang dieksploitasi bagi kepentingan politik kepartian jangka pendek, ibarat api yang membara di dalam sekam, berpotensi mencetus permusuhan dan meluap kemarahan dikalangan warga,” titah baginda.

Baginda bertitah dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Titah Baginda, penularan pelbagai aliran pemikiran konvensional dan baharu yang menongkah arus pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu cabaran yang bakal merungkai pegangan akidah dan boleh memporak-perandakan ummah. 

“Ulama dan cendekiawan Islam hendaklah mencari titik pertemuan dan kata sepakat menangani isu berkaitan daripada berlarutan.  

“Dalam matlamat mahu mencari titik pertemuan, perbincangan  yang dirintis, lebih bijaksana dilakukan dalam semangat permuafakatan secara halus dan di belakang tabir, daripada digembar-gembur di khalayak ramai, disebabkan masing-masing mahu menegakkan kebenaran hingga mengakibatkan umat keliru” titah Baginda.

Titah Sultan Perak, setiap agama menyeru kepada perdamaian dan keamanan, menyemai rasa keinsanan dan kemanusiaan malah melarang permusuhan serta mencegah pembunuhan. 

“Kini ada rakyat yang telah terpengaruh dengan fahaman-fahaman ekstremis, hingga ke peringkat  bersedia menyertai kumpulan militan, sanggup meninggalkan tanah air, dan ada yang telah terkorban di negara orang. 

“Polis Diraja Malaysia telah melakukan beberapa tangkapan.  

“Namun tangkapan tidak menjamin masalah telah selesai, kalau punca masalah gagal difahami secara mendalam,” titah baginda lagi.

Titah Baginda lagi langkah-langkah menangani yang lebih komprehensif perlu difikirkan dan diperhalusi terutama berkaitan faktor-faktor yang telah berupaya memesong pemikiran anak-anak muda, sehingga hilang pertimbangan rasional, lalu memilih menyertai kumpulan-kumpulan militan.

“Walaupun menghadapi suasana dunia dan negara yang semakin mencabar, Kerajaan Beta telah berjaya mengurus tadbir negeri sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan rakyat.  

“Masih banyak yang perlu dilakukan dan masih banyak yang boleh dilakukan melalui kerjasama dan persepakatan yang wajib terus dipupuk di antara rakyat dan kerajaan,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");