Perak Hari Ini

Isu Viral JPJ Tidak Benar – Nadzri

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menafikan dakwaan yang menyatakan agensi itu membuat operasi di sekolah-sekolah serta menyaman dan menahan pelajar-pelajar yang tidak mempunyai lesen.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Datuk Sri Nadzri Siron berkata, dakwaan itu wujud berikutan video yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

Jelas beliau, isu viral tersebut tidak benar sama sekali malah tiada sebarang saman dikeluarkan kepada pelajar-pelajar tersebut.

“Ingin saya nafikan di sini bahawa isu viral tersebut adalah tidak benar dan ada pihak-pihak yang mengatakan JPJ bertindak sedemikian kerana kerajaan telah terdesak untuk mendapatkan wang dan kerajaan hanya mahu menekan rakyat. Ini semua adalah tidak benar,” jelas beliau.

Menurut Nadzri, program yang dikenali sebagai Program Keselamatan dan Penguatkuasaan terhadap pelajar-pelajar sekolah ini hanya bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa mengenai kepentingan mempunyai lesen yang sah.

“Pada fasa yang pertama ini kita hanya akan memberikan khidmat nasihat dan amaran sahaja kepada pelajar dan ibu bapa, kita tidak mengenakan sebarang kompaun atau saman kepada mereka.

“Kita telah memilih tiga buah sekolah bagi setiap negeri untuk program ini dan ibu bapa yang dipanggil untuk ke sekolah akan disarankan supaya mendapatkan lesen yang sah untuk anak-anak mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, melalui program tersebut sebanyak 3642 motosikal telah diperiksa dan mendapati seramai 764 orang pelajar memandu tanpa lesen yang sah dan seramai 346 orang pelajar melakukan kesalahan tidak memakai topi keledar.

Nadzri juga berharap ibu bapa dan pelajar dapat memberikan kerjasama dalam mematuhi peraturan jalanraya dengan memberi kesedaran awal bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Program ini juga merupakan kerjasama antara JPJ bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");