Berita Hari Ini

James Lee bergerak ke Kala Patthar hari ini, sebelum ke kem pangkalan Everest

KUALA LUMPUR: James Lee Chong Meng, warga Malaysia tertua yang cuba menawan Gunung Everest, akan bergerak ke Kala Patthar di Nepal, yang terletak 5,545m dari aras laut, hari ini sebelum meneruskan pendakian ke kem pangkalan.

Pendaki berusia 69 tahun itu berkata beliau dan anggota pasukannya tiba di Gorakshep (5,164m) pada 12.30 tengah hari semalam dari Lobuche.

Menurutnya, mereka dijangka meneruskan perjalanan ke kem pangkalan yang terletak 5,380m dari aras laut pada tengah hari.

“Kami memulakan perjalanan dari Luboche pada 10 pagi dan akan bermalam di sini (Gorakshep) sebelum mengatur langkah ke Kala Patthar, esok (hari ini).

“Cuaca kurang berangin dan suhu adalah kira-kira 8?C hingga 10?C,” kata Lee pada Selasa kepada Bernama, yang menjadi rakan media bagi misinya untuk menawan puncak tertinggi dunia itu.

Lee berkata dua pendaki, Eugene Kwan Jyh Sin, 47, dan Teng Hee Weng, 48, yang menemaninya ke kem pangkalan, mengalami penyakit gunung akut (AMS) dan keadaan mereka sedang dipantau.

AMS adalah kesan patologi ketinggian terhadap manusia yang berpunca daripada pendedahan akut kepada tekanan rendah oksigen di kawasan tinggi.

“Pendaki lain berada dalam keadan baik dan saya pula secara beransur-ansur dapat mengatasi perasaan dan kehadiran ‘udara sejuk’ yang membuat dada saya tidak selesa,” katanya.

Lee dan pasukannya tiba di Kathmandu pada 1 April lepas.

Lee, Kwan dan Teng diiringi Chong Nyuk Kooi, 49, serta Berdych Tan Teck Chai dan Jack Oh Jin Heng, kedua-duanya berusia 32 tahun.

Mereka akan menemani Lee ke Kem Pangkalan Everest, sebelum beliau meneruskan pendakian ke puncak gunung itu dalam ekspedisi anjuran Lions Club of Port Dickson Pantai.

Pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan peringkat akhir pendakiannya ke puncak Gunung Everest setelah tiba di Camp III pada ketinggian 7,200m kerana cuaca buruk.

Gunung Everest adalah setinggi 8,848m. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");