Membawang Hari Ini

Johan Nawawi Sempat Susun Pelan Syarikat Sebelum Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Anak sulung kepada komposer Allahyarham Johan Nawawi, Mohd Syakir Iman, mendedahkan bahawa bapanya pernah memberi petunjuk yang dirinya tidak akan hidup lama.

Menurut Iman, 24, arwah bapanya sempat menyusun atur pelan induk bagi syarikat animasi bapanya itu, Hud Hud Media Sdn Bhd untuk diteruskan olehnya.

“Papa suruh belajar banyak-banyak daripada beliau supaya saya dapat mengambil alih perniagaan dengan sebaiknya dan juga menjadi ketua keluarga.

“Meskipun saya reda dengan pemergian papa, namun perasaan sedih masih dirasai setiap kali saya menjejakkan kaki di pejabat kerana kelibat papa sudah tiada,” katanya.

Johan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, kira-kira 6.30 pagi Jumaat, 24 Mac lalu.

Sementara itu, Iman berkata usaha bapanya menghasilkan kartun animasi berbentuk dakwah akan diteruskannya.

Katanya, beliau akan memenuhi hasrat bapanya supaya beliau meneruskan usaha itu yang dimulakan pada 2011.

Semalam Hud Hud Media mengadakan majlis penghormatan, Showcase Tribute to Allahyarham Johan Nawawi di Pameran Gaya Hidup Antarabangsa Malaysia (MILE) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Pada majlis itu, Iman berkongsi serba sedikit kisah hidup Allahyarham.

Menyentuh mengenai pengalamannya bekerja dengan bapanya, Iman berkata: “Saya sempat bekerja bersama papa sejak bulan Ogos tahun lepas dan beliau berkongsi banyak cerita dan pengalaman sehinggalah kepada sejarah hidup beliau.

“Beliau juga sempat berkongsi dengan saya pengalaman perniagaan walaupun bukan semua, tapi banyak yang dia sempat kongsikan,” katanya.

Anak kedua Allahyarham, Muhd Syakir Alif, 18, yang turut sama dalam majlis penghormatan itu menyampaikan dua lagu berjudul ‘Insan’ dan ‘Insan Yang Mulia’, ciptaan Allahyarham.

Allahyarham Johan turut mencipta lagu berunsurkan dakwah berjudul ‘Erti Al-Fatihah’ yang diadaptasi daripada surah al-Fatihah, dan dinyanyikan oleh anaknya Putri Nur Dahlia, 13.

Lagu itu telah dimuatkan dalam siri animasi ‘Ummi – Ceritalah Pada Kami!’ terbitan Hud-Hud Media, selain lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid Raihan pada 1990an.

Johan meninggalkan seorang balu, Nora Ariffin, 44, seorang penyanyi, dan empat cahaya mata Mohd Syakir Iman, Muhd Syakir Alif, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fatehah, 4.

Menurut Iman, hari ini merupakan ulang tahun ke-25 perkahwinan Johan dan Nora.

“Saya dan adik-beradik hanya berkumpul di rumah sambil menemani ibu yang masih dalam iddah, itu sahaja,” kata Iman. -BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");