Berita Hari Ini

Juara tilawah kebangsaan sedia galas tugas wakili negara

AYER KEROH: “Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana keputusan bercuti sementara sebagai pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sejak Ogos tahun lalu kini berhasil dengan kejayaan,” kata johan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1438H/2017M, Normalina Alias, 35.

Memetik sumber Berita Harian Online, dalam nada sebak, qariah Negeri Sembilan itu berkata, pengorbanannya berlatih dalam tilawah selama enam jam sehari, termasuk empat jam bersama guru pembimbing disifatkan cukup berbaloi dan berharap dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Syukur kepada suami, Mohammad Helmy Jaafar, anak Nur Alia Insyirah, 6, keluarga, guru-guru dan semua yang menyokong saya. Inilah kejayaan terbaik saya selepas mencuba kali keenam di peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kemenangan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim di Seri Negeri di sini, malam tadi.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu, johan qari, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad, bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil negara di peringkat antarabangsa yang dijadual diadakan bulan depan.

Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berusia 44 tahun itu yakin, beliau mampu memberi saingan kepada peserta luar negara, meskipun tahap kebolehannya dalam pembacaan al-Quran serta taranum masih belum pada paras terbaik.

“Alhamdulillah, kemenangan ini memberi semangat kepada saya untuk mempertingkatkan lagi mutu pembacaan bagi menghadapi pertandingan lebih besar dengan membawa nama negara.

“Saya yakin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membantu saya dari semua sudut menjelang Majlis Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa bulan depan,” katanya yang sudah enam kali menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan, termasuk muncul naib johan pada 2014.

Wan Fakhrul Razi mengumpul 89 peratus markah manakala Normalina (86.33 peratus), masing-masing membawa pulang hadiah RM15,000; piala pusingan; sebuah kereta PROTON Exora; tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji, RM1,000 sumbangan kerajaan Melaka, cenderamata dan sijil penyertaan.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bulan depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");