Jenayah

Kastam Terengganu Rampas 3 Juta Batang Rokok Seludup

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar di negeri ini membabitkan nilai RM2.07 juta dalam dua serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Marang, semalam.

Memetik sumber Berita Harian Online, hasil keseluruhan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan itu membabit 15,000 karton atau 3 juta batang rokok.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 1 pagi semalam, sepasukan pegawai JKDM menahan sebuah van jenis Toyota Hiace di Jalan Kelantan, Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus.

Pengarah JKDM Terengganu, Aidid Tajuddin, berkata hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui 660,000 batang rokok putih jenama John White dan John F1 dianggarkan bernilai RM455,740 termasuk cukai.

Katanya, seorang lelaki berusia 53 tahun yang memandu van terbabit ditahan sebelum direman selama 14 hari selepas dia gagal membuktikan rokok terbabit diimport secara sah.

“Dalam rampasan kedua, pihak kami menerima maklumat terdapat sebuah lori tiga tan dipercayai membawa barangan tidak sah di sekitar daerah Marang.

“Sebaik tiba di Kampong Mercang, Marang, kami dapati ada sebuah lori terbabas di tepi jalan sebelum pegawai JKDM menemui 2.34 juta batang rokok seludup jenama U2 membabitkan nilai RM1.61 juta, termasuk cukai.

“Berdasarkan maklumat awam, pemandu lori terbabit sudah melarikan diri selepas kenderaan itu terbabas manakala kelindan dihantar ke hospital akibat kecederaan parah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Aidid berkata, rampasan itu adalah yang terbesar dilakukan pihaknya pada tahun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");