Sukan Hari Ini

Kedah Hilang Dua Tonggak Utama

SKUAD Hijau Kuning berdepan laluan sukar untuk merampas kembali takhta Liga Super apabila tempang tanpa dua tonggak utamanya ketika menentang T-Team, pada Sabtu.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, dua pemain import iaitu Ken Ilso Larsen dan Liridon Krasniqi tidak dapat diturunkan dalam perlawanan kali ini.

Jelasnya, walaupun situasi itu agak mengecewakan namun beliau telah melakukan persediaan bagi memastikan misi meraih tiga mata tidak terjejas.

Menurutnya, dua pemain tempatan akan diberi tanggungjawab menggantikan dua kekosongan tersebut.

“Walaupun terpaksa beraksi tanpa penyerang utama, saya yakin barisan pemain simpanan yang bakal mengantikan Larsen mampu memastikan kejayaan pasukan.

“Saya terpaksa membuat keputusan sama ada menamakan penyerang muda Syafiq Ahmad atau membariskan Fakhri Saarani sebagai penyerang utama dan keputusan ini hanya dapat dibuat sebelum perlawanan di Kuala Terengganu bermula.

“Setelah kehilangan dua mata dan berdasarkan kedudukan di persada liga, barisan pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya.

“Kita tidak boleh lagi tercicir mata dan di persada liga dengan rekod tanpa kalah yang berjaya dipertahankan selama ini,” katanya memetik laporan mStar Online.

Cheng Hoe menambah, semua pemian berada dalam keadaan bersedia selepas menjalani latihan sejak Isnin lalu dan mereka perlu berusaha mendapatkan kemenangan.

“Pemain saya perlu beraksi seperti biasa dan tidak tertekan untuk mencari kemenangan kerana tekanan boleh merencatkan rentak permainan.

“Saya sendiri juga tidak boleh memberi tekanan kepada pemain kerana kemahuan yang tinggi bagi meraih kejayaan pada setiap perlawanan mampu menghasilkan kejayaan.

“Kami juga tahu hasrat T-Team yang turut mahukan kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan mereka selain bangkit daripada kekalahan kepada Perak pada perlawanan lalu, sekali gus faktor itu pasti akan membakar semangat pemainnya apabila beraksi di laman sendiri,” ujarnya.

Kedah kini menduduki tangga ketiga liga dengan 19 mata, dipisahkan satu mata daripada pendahulu, Johor Darul Ta’zim.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");