Sukan Hari Ini

Kepulangan Azizulhasni Disambut Meriah Peminat Sukan Tanah Air

Sorakan peminat sukan tanah air menggamatkan suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus ketibaan jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, yang merangkul kejuaraan di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong, Khamis lepas.

Ketibaan Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’, turut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Dr Mohd Khairi Zawi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Suasana di balai ketibaan lapangan terbang itu bertambah meriah dengan gelagat orang ramai yang hadir memakai baju tertera ‘Team Malaysia’ dengan melaungkan ‘Malaysia Boleh’ sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

BACA: Azizulhasni idam pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo

Sementara itu, seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Ahmad Daniel Rosly, 20, berkata beliau amat bertuah kerana dapat bersama-sama meraikan ketibaan wira emas negara selain berpeluang bergambar bersama idolanya itu.

“Saya menjadikan beliau (Mohd Azizulhasni) sebagai idola saya dan kejayaan beliau ini merupakan satu kebanggaan negara. Peluang menyambut dan bergambar bersama beliau tidak akan saya lupakan,” katanya.

Bagi seorang pesara, Muhamad Ali Yaakob, 61, beliau menyifatkan peluang menyambut juara dunia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu, satu detik manis buat dirinya, yang turut menjadikan aktiviti berbasikal sebagai hobi pada waktu lapang.

“Peluang bersama-sama menyambut kepulangan Mohd Azizulhasni akan menjadi satu memori berharga buat saya. Kejayaan beliau ini boleh dijadikan sumber inspirasi dan suntikan semangat kepada semua pelumba muda,” kata bapa kepada lapan anak itu.

Pada perlumbaan akhir berlangsung di Velodrom Hong Kong itu, Mohd Azizulhasni mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata yang meraih pingat perak, manakala Tomas Babek dari Republik Czech memenangi gangsa dalam acara Keirin.

Untuk rekod, Mohd Azizulhasni memperoleh pingat perak pada 2010 di Denmark selain memenangi dua gangsa di Perancis pada 2015 dan 2016 di United Kingdom dalam acara Keirin. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");