Berita Hari Ini

Kerajaan Kaji Potensi Tanah Terbiar

SEREMBAN:Kerajaan Negeri Sembilan sedang membuat kajian bagi meningkatkan nilai dan potensi sebenar tanah-tanah terbiar di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan pemilik tanah terbiar yang kebanyakannya penduduk kampung menambah pendapatan mereka.

“Sudah menjadi hasrat saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hendak mempertingkatkan pendapatan orang kampung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Koperasi Permodalan dan Perusahaan Melayu Negeri Sembilan Bhd (KPPMNSB), di sini , hari ini.

Turut hadir Pengerusi KPPMNSB, Datuk Abdullah Abas.

Mohamad berkata, penelitian awal beliau mendapati tanah yang diuruskan koperasi memberi pulangan lebih baik daripada yang diuruskan agensi kerajaan.

“Koperasi seperti KPPMNSB, Koperasi Astana Raja, Koperasi Kaum Ibu dan lain-lain lagi, nampaknya mereka menguruskan ladang dengan lebih cekap dan lebih memuaskan pulangannya jika dibandingkan dengan (diurus) agensi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata KPPMNSB telah mengenal pasti 121.41 hektar tanah terbiar di Kuala Pilah untuk dibangunkan pada hujung tahun ini.

“Pihak kami sedang berbincang dengan pemilik-pemilik tanah berkenaan bagi membolehkan koperasi menguruskan tanah mereka,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini KPPMNSB menguruskan 53.42 hektar ladang sawit di Lubuk Cina dan Berisu, Melaka.

Menurutnya pihak koperasi juga bercadang membuka kedai dobi 24 jam di Senawang dalam masa terdekat.

“Kami lebih fokus kepada bidang hartanah dan perladangan, kerana kedua-dua sektor ini menjana lebih 50 peratus kepada pendapatan koperasi.

“Selain itu, KPPMNSB turut berkecimpung dalam bidang pelancongan, kewangan dan pemborongan dan peruncitan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");