Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Ambil Perhatian, Teguran Dan Nasihat Sultan Perak

IPOH:Kerajaan negeri akan mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya mengenai keperhatinan Sultan Perak, Sultan Nazrim Muizzuddin Shah berkaitan dengan urus tadbir dan hasil negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri menjujung kasih kepada Sultan Perak atas keperhatinan baginda yang dikongsi menerusi titah baginda pada pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

“Pihak kerajaan negeri menjujung kasih kepada Sultan Perak, kerana telah berkenan memperincikan perkara penting tentang pembangunan negeri ini serta analisis masa depan selain menyampaikan peringkatan kepada semua,” katanya dalam satu sidang media sejurus selepas selesai majlis pembukaan persidangan tersebut hari ini.

Katanya, pelbagai kejayaan dan pengiktirafan melibatkan agensi dibawah kerajaan Negeri telah diumumkan menerusi titah baginda.

“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak mendapat pengiktirafan inovasi terbaik (kutipan) sempena Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan.

“Malah Pejabat Tanah dan Galian mendapat tempat pertama Anugerah Ketua Setiausaha Negara dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Menteri Besar pula melibatkan pengurusan pasir yang menjadi rujukan di peringkat kebangsaan bagi kaedah mengawal masalah ketirisan pasir,” katanya.

Jelasnya, pihak Kerajaan negeri akan terus memastikan jabatan dan agensi yang lain terus berperanan dalam memastikan tahap efisien pentadbiran yang cekap dan telus.

“Beberapa langkah sedang dilakukan peringkat kerajaan negeri dalam usaha untuk membawa negeri perak ke mercu kebangsaan dan peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, keindahan alam semulajadi dan bangunan bersejarah serta unik di negeri ini juga akan terus dipertingkatkan kualitinya seperti yang dititah oleh Sultan Perak hari ini.

“Baginda bertitah mengenai Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar perlu dikekalkan reka bentuknya dan tidak boleh diusik untuk tujuan membesarkannya hingga boleh merosakkan keindahannya ia kerana masjid tersebut disenaraikan di tempat keempat di kalangan lima masjid yang tercantik lagi menakjubkan di dunia,” katanya.

Begitu juga penegasan baginda mengenai tugas memelihara alam semulajadi yang perlu dilindungi daripada dirosakkan kerana aktiviti komersial seperti yang terjadi di Taman Negeri Pulau Sembilan.

“Kita akan memastikan Pulau Sembilan dipelihara dan langkah penutupan pulau itu oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan membendung tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab merosakkan alam dan fauna di kawasan itu.

“Itu adalah bukti ketegasan kita dan Sultan Perak ternyata cukup prihatin mengenai kawasan Pulau Sembilan justeru itu kita akan memastikan ia terjaga rapi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");