Berita Hari Ini

Kerajaan Prihatin Kebajikan Golongan OKU – Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap usaha memelihara kebajikan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bantuan terhadap golongan itu yang merupakan 0.01 peratus daripada penduduk Malaysia, merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, perniagaan dan kesihatan.

“Bermula daripada zaman persekolahan, pelajar OKU di sekolah rendah dan menengah menerima elaun sebanyak RM150 setiap bulan.

“Untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT), golongan OKU mempunyai saluran khas bagi membolehkan mereka mendapatkan pendidikan yang berkualiti,” katanya menerusi blog najibrazak.com mengenai bantuan kerajaan kepada golongan OKU.

Najib berkata pada masa sama, mereka yang berhak, menerima biasiswa dan elaun bulanan sepanjang pengajian di IPT awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Perdana menteri berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada golongan OKU apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.

“Mereka mendapat elaun pekerja kurang upaya sebanyak RM350 sebulan manakala tidak berupaya untuk bekerja mereka menerima RM200 sebulan dan RM300 untuk penjagaan OKU terlantar,” katanya.

Najib berkata, kerajaan juga membantu golongan OKU yang berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan menerusi geran pelancaran sehingga RM2,700 bagi membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup melalui bidang keusahawanan.

Selain itu, katanya, mereka turut mendapat rawatan perubatan secara percuma di hospital kerajaan tanpa perlu membayar rawatan pakar, bayaran ubat dan bayaran wad kelas ketiga.

“Banyak lagi bantuan lain disediakan bagi memastikan mereka dapat menjalani hidup dengan selesa. Saya minta jasa baik tuan-tuan dan puan-puan, tolong sampaikan kepada kenalan golongan istimewa ini tentang maklumat tersebut, agar mereka tahu akan hak-hak mereka.

“Insya-Allah, kita dapat sama-sama menjamin kebajikan mereka dipelihara di negara kita ini,” katanya sambil menekankan usaha memelihara kebajikan golongan OKU sentiasa dekat di hati beliau. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");