Perak Hari Ini

Kerajaan Sasar Peningkatan Dalam Sektor Agromakanan Sebelum Berakhir RMK-11

PASIR SALAK: Kerajaan mensasarkan peningkatan sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.7% sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-11.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sasaran tersebut dibuat berikutan prestasi sektor agromakanan yang telah menyumbang sebanyak 3.3% kepada KDNK pada tahun 2016.

“Pada tahun 2016, prestasi sektor agromakanan boleh dibanggakan di mana ia telah menyumbang sebanyak RM 36.5 billion atau 3.3% kepada KDNK.

“Jadi kita akan mensasarkan peningkatan sebanyak 1.7% sahaja lagi sumbangan sektor agromakanan untuk mencapai ke tahap 5% kepada KDNK sebelum berakhirnya RMK-11,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Gelombang Asas Tani Nasional (GTN) yang berlangsung di hadapan Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Degong, hari ini.

Dalam ucapannya juga, beliau menyentuh berkaitan isu tanah terbiar yang dilihat mampu menjadi faktor penyumbang kepada industri pertanian sekiranya diusahakan dengan baik.

“Kita seringkali mendengar masalah mengenai tanah yang tidak mencukupi untuk tujuan pertanian, tetapi kenyataannya negara masih berhadapan dengan isu tanah terbiar.

“Saya ingin menyeru para petani dapat memanfaatkan tanah yang ada agar menjadi tanah yang produktif. Saya akan sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri bagi menangani masalah ini,” katanya.

Beliau juga mahu Malaysia dapat menyaingi Belanda yang kini merupakan negara pengeksport pertanian kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

“Saya mahu melihat Malaysia juga dapat menjadi seperti Belanda yang merupakan negara pengeksport pertanian kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

“Negara Belanda hanyalah sebesar negeri Pahang, tetapi kenapa mereka mampu mencapai kejayaan sebegitu? Kalaupun kita tidak mampu untuk menandingi kedudukan Belanda, sekurang-kurangnya kita mampu menjadi pesaing terkuat kepada Belanda,” jelasnya.

Majlis pelancaran GTN 2017 ini turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga merupakan penaung GTN 2017, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");