Jenayah

Kes Samun, Bunuh Warga Emas: 4 Ditahan

KOTA BHARU: Empat suspek ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes samun dan bunuh warga emas di Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Kuala Krai, semalam.

Memetik sumber Berita Harian Online, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Din Ahmad, berkata keempat-empat suspek berkenaan ditahan di beberapa lokasi berasingan di Kuala Krai kira-kira jam 10 malam hingga 4 pagi tadi.

“Kesemua suspek berusia sekitar 30 hingga 40-an ditahan di rumah masing-masing dan dipercayai dapat membantu siasatan pihak polis.

“Kita juga akan mendapatkan perintah reman mahkamah bermula hari ini sehingga 19 April ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, hari ini.

Din berkata pihaknya turut menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes berkenaan serta menggunakan segala kepakaran yang ada untuk mendapatkan maklumat.

“Suspek menggunakan senjata tajam untuk membunuh mangsa berikutan terdapat enam kesan tikaman pada belakang serta tengkuk mangsa.

“Berdasarkan siasatan, suspek juga menggeledah bilik di rumah mangsa dan siasatan mendapati jumlah kerugian yang dialami hanya sekitar RM200 berikutan suspek tidak menjumpai barang berharga,” katanya.

Media melaporkan seorang wanita ditemui mati dipercayai disamun sebelum dibunuh di rumahnya di Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Abdullah Ronning, berkata mayat mangsa, Rokiah Mamat, 61, ditemui anaknya, Che Hasmarizal Che Hassan, 30, dalam keadaan berlumuran darah di ruang dapur rumahnya, pada jam 3.30 petang semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");