Membawang Hari Ini

Kesihatan Mazidul Semakin Baik

Kondisi bekas wartawan penyiaran dan pengacara program 999, Mazidul Akmal Sidek, 50, yang diserang angin ahmar sebelum ini, kini semakin pulih dan menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif.

Mazidul telah meninggalkan kariernya dalam dunia penyiaran sejak hampir tiga tahun lalu setelah diserang penyakit itu.

Ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 6, Kota Damansara hari ini, Mazidul dilihat sudah boleh bertutur dengan baik namun pergerakannya masih terhad.

“Kalau sebelum ini masa mula-mula kena memang macam ‘jelly’ lah, tetapi sekarang alhamdulillah sudah boleh berjalan sedikit dengan bantuan tongkat.

“Saya mendapat sokongan yang bagus daripada ahli keluarga, kawan-kawan dan sahabat yang mana datang menjenguk itulah yang beri kekuatan kepada saya,” katanya dalam program ziarah yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bina Bangsa.

Mazidul memberitahu beliau juga tidak menyangka dapat menunaikan umrah pada Februari lalu dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan dorongan kepadanya untuk sembuh.

Isterinya, Khairul Fazlin Kamaruddin turut memaklumkan Mazidul sudah mula menulis menggunakan pen dan sudah ada beberapa coretan dibuat pada buku catitannya.

“Dia boleh menulis pada kertas sahaja, pada kekunci komputer masih belum boleh kerana tangan kirinya masih tidak kuat lagi (kesan daripada serangan angin ahmar).

“Adalah dia tulis pada buku tapi dia tidak bagi saya tengok,” ceritanya tersenyum.

Kata Fazlin, rawatan masih diteruskan di hospital dan di rumah juga secara tradisional bagi mengembalikan semangat dan keupayaan fizikalnya sedikit demi sedikit.

Sebagai mengenang jasa dan pengaruhnya dalam dunia kewartawanan, Pertubuhan Bina Bangsa memaklumkan akan menganjurkan satu pertandingan menulis esei kepada pelajar sekolah menengah atas nama Anugerah Mazidul Akmal Sidek-Pertubuhan Bina Bangsa.

Menurut Pengerusinya, Syahril A. Kadir, perkara itu dipersetujui oleh Mazidul dan butiran mengenainya akan diumumkan kelak.

“Kita mahu pupuk kecintaan terhadap dunia penulisan dan terutamanya pelajar yang minat dalam bidang kewartawanan penyiasatan,” katanya.

Turut hadir pada program tersebut adalah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan penaung Pertubuhan Bina Bangsa Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");