KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan bekerjasama mewujudkan garis panduan untuk menyelaras dan menyeragamkan pengusaha premis bergerak trak makanan atau ‘food truck’ di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah, berkata pihaknya akan berganding bahu dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan garis panduan berkenaan.
“Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mewujudkan garis panduan penyediaan dan penjualan makanan di premis makanan bergerak pada tahun lalu untuk memenuhi keperluan kebersihan serta keselamatan makanan.
“Ia selaras Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang termaktub mengikut Akta Makanan 1983, malah kementerian memperkenalkan Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) bagi mengawal selia operasi pengusaha premis makanan pada Mac tahun lalu.
“Langkah ini bagi menggalakkan pengusaha mengekalkan kebersihan premis, menyediakan pilihan makanan yang selamat dan lebih sihat kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini.
Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, dilaporkan berkata, cadangan mewujudkan garis panduan untuk pengusaha premis makanan bergerak bakal dilaksanakan kerana operasinya di negara ini dikatakan tidak seragam.
Selain disifatkan tumbuh seperti cendawan selepas hujan, operasi trak makanan yang semakin sinonim dan mendapat sambutan dalam kalangan golongan muda itu tidak memperuntukkan garis panduan mengenai sewa, yuran, penetapan harga makanan dan lokasi bersesuaian.
Bengkel khusus berhubung langkah penyeragaman itu turut dijadual diadakan merangkumi wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengusaha premis makanan bergerak.
Dr Noor Hisham berkata, susulan pelaksanaan pengiktirafan BeSS diperluaskan mencakupi pengusaha premis makanan bergerak di seluruh negara, kementerian memberi pengiktirafan terhadap 18 pengusaha trak makanan manakala 68 pengusaha sedang dibimbing ke arah pengiktirafan piawaian berkenaan.
“Selain itu, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 mewajibkan pengusaha premis outlet makanan bergerak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan menerusi laman web http://fosimdomestic.moh.gov.my.
“Kegagalan mendaftarkan premis bakal berdepan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya, memetik sumber Berita Harian Online.