Berita Hari Ini

‘Kurang komunikasi, nak gaji lebih’

KUALA LUMPUR – Kurang kemahiran berkomunikasi dan permintaan pendapatan yang tinggi adalah antara kesilapan yang kerap dilakukan graduan sekali gus menyebabkan kesukaran menerima tawaran pekerjaan.

Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Datuk CM Vignaesvaran berkata, walaupun memiliki kelulusan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) namun tidak semua graduan dilihat bersedia untuk menempuh alam pekerjaan.

“Kita lihat statistik itu berdasarkan analisis yang dijalankan mengenai isu ini, kebanyakan graduan yang membuat permohonan kerja meminta gaji yang terlalu tinggi. Ini adalah antara kesilapan yang dilakukan oleh para graduan sedangkan mereka masih belum memiliki sebarang pengalaman bekerja.

“Selain itu, kemahiran berkomunikasi juga adalah perkara terpenting dalam alam pekerjaan di mana golongan graduan perlu mempersiapkan diri mereka untuk meyakinkan majikan menawarkan pekerjaan kepada mereka,” katanya selepas menghadiri taklimat penubuhan Asean Data analytics Exchange (ADAX) baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan keadaan itu, PSMB telah mengadakan program Graduates Enhancement Programme for Employability (Genarate) bertujuan membantu graduan meningkatkan kemahiran mereka bagi membolehkan mereka menceburi alam pekerjaan.

“Dalam program ini kita memberi latihan kemahiran tinggi dan berkompetensi yang diperlukan oleh industri kepada graduan.

“Ini adalah antara inisiatif yang dilakukan dan program ini terbuka kepada graduan yang memiliki kelulusan diploma, ijazah atau yang setara,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan graduan terbabit supaya memanfaatkan segala peluang yang ditawarkan tanpa bersikap terlalu memilih.

“Setiap kali dipanggil di temu duga, mereka perlu menghadirinya kerana banyak pengalaman yang akan diperolehi terutama dalam memperbaiki teknik kemahiran komunikasi.

“Apabila ditawarkan bekerja walaupun tidak berkaitan dengan apa yang dipelajari, merekaperlu menerima sekurang-kurangnya untuk mendapatkan pengalaman sebelum mula memilih kerjaya yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya memetik sumber Sinar Harian Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");