Berita Hari Ini

Lebih RM90,000 Denda Dikenakan Kepada Perokok Di Melaka Tahun Lepas

MELAKA: Denda sebanyak RM90,830 melibatkan 367 kes dikenakan terhadap perokok oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tahun lepas kerana merokok di kawasan larangan merokok di negeri ini.

Timbalan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Melaka Datuk Ng Choon Koon berkata denda sejumlah RM11,850 melibatkan 48 kes pula dikenakan kepada perokok untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Mereka diambil tindakan itu kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 iaitu merokok di kawasan larangan merokok yang diwartakan di bawah peraturan tersebut.

“Kami akan bekerjasama dengan jabatan kesihatan dan agensi berkaitan dalam menguatkuasakan perintah larangan merokok di kawasan yang telah diwartakan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Melaka mempunyai lima Zon Melaka Bebas Asap Rokok iaitu Bandaraya Warisan Dunia meliputi Jalan Jonker dan Jalan Kota, Melaka Raya, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Pusat Bandar Alor Gajah dan Pusat Bandar Jasin.

Taman awam dan taman negara telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok bermula 1 Feb lepas selaras dengan visi Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau, untuk menjadikan Malaysia, negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok menjelang tahun 2045.

Sehubungan itu, bermula 1 Jun tahun ini tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati merokok di taman-taman awam dengan denda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Mengulas mengenai pewartaan taman sebagai tempat larangan merokok, Ng berkata pendidikan masyarakat terhadap langkah itu akan dijalankan melalui pengedaran risalah larangan dan individu yang ditahan melanggar peraturan ini sebelum tarikh berkuat kuasa akan diberikan amaran bertulis.

“Kami akan melaksanakan aktiviti hebahan secara rutin dan bersepadu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengawal kegiatan merokok di negara ini.

“Justeru, perokok dinasihatkan agar sentiasa menghormati undang-undang dan prihatin terhadap kesan bahaya asap rokok pasif kepada orang sekeliling,” katanya.– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");