Sukan Hari Ini

Manfaat Kealpaan JDT

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengakui pemainnya menggunakan peluang ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) bertahan untuk mendapatkan gol kemenangan dalam saingan suku akhir kedua Piala FA, kelmarin.

Menurutnya, Harimau Selatan itu lebih banyak bertahan berbanding melakukan serangan selepas menjaringkan dua gol di babak pertama sekali gus membuka peluang buat pemainnya menjaringkan gol

“Masuk separuh masa kedua, jentera JDT lebih banyak bertahan. Kami gunakan peluang itu untuk menggandakan asakan dan tekanan akhirnya kami dapat gol kemenangan yang dicari-cari,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Dalam perlawanan itu, pemain import JDT dari Argentina, Gonzalo Cabrera meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-6 kemudian disusuli gol kedua menerusi Gabriel Guerra sewaktu minit ke-22.

Babak kedua perlawanan menyaksikan JDT mengendurkan asakan dan membuka peluang kepada import Tok Gajah, Mohamadou Sumareh menanduk gol kemenangan pada minit ke-86 seterusnya menjadikan agregat 4-3.

Mengulas lanjut Dollah menyifatkan, keupayaan Tok Gajah untuk layak ke separuh akhir sebagai amat melegakan selepas corak permainan yang sepatutnya dipamerkan tidak menjadi pada perlawanan berkenaan.

Katanya, babak pertama agak mengecewakan selepas pemain gagal menterjemahkan perancangan taktikal sehingga memberi ruang kepada pemain JDT menguasai permainan dan mampu menjaringkan dua gol.

“Mungkin pemain saya gementar dan akibatnya kerap melakukan kesilapan mudah.

“Namun ketika di bilik persalinan sebaik tamat babak pertama, saya mengingatkan mereka supaya bangkit dan lebih berdisiplin kerana sepanjang babak pertama kita kerap bertahan dan agak sukar untuk menjaringkan gol.

Beliau juga tidak menafikan kelibat pemain import Mattheus Alves tidak menjadi dan terpaksa berlegar di posisi sayap selepas di posisi tengah jelas dikuasai pemain JDT yang mendominasi posisi itu.

“Saya arahkan Alves untuk kekal di posisi serangan supaya mengganggu benteng JDT dan menambah tekanan terhadap Marcos (Antonio) dan Fadhli Shas. Ia berkesan apabila benteng lawan mula goyah dan kesempatan itu digunakan Sumareh menjaringkan gol,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");