Berita Hari Ini

Mara Sedia Kerjasama Dengan SPRM Jika Ada Bukti Baharu

SEMENYIH: Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti baharu berkaitan pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Australia.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata malah kementeriannya bersedia menghantar mana-mana pegawai di agensi itu sekiranya diarahkan untuk diberi keterangan.

“Walaupun ada gesaan kepada kami (Mara) untuk dedahkan dokumen berkaitan kepada umum, kami tidak boleh berbuat demikian kerana akan mengganggu siasatan SPRM.

“Tetapi sekiranya SPRM minta lagi (dokumen), kami tiada masalah dan akan bekerjasama. Kalau dedah secara umum akan mencetuskan spekulasi sehingga boleh mengganggu siasatan SPRM,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Bazar Mara Semenyih di sini, pada Khamis. Turut hadir Pengerusi Sementara Mara Datuk Yusof Yacob dan Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (Perkata), Adzly Ab Manas mendesak SPRM membuat siasatan lanjut kes berkenaan berikutan penemuan bukti baharu berkaitan pembelian hartanah oleh anak syarikat Mara itu di Australia.

Adzly berkata pihaknya bersedia menyerahkan bukti baharu itu sekiranya diperlukan.

Pada 26 Jun tahun lalu, Pengerusi Mara yang kini sedang digantung tugas Tan Sri Annuar Musa menyerahkan pelbagai dokumen kepada SPRM berkaitan pembelian pangsapuri oleh Mara Incorporated di Australia.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata Mara kini sedang giat melakukan transformasi di premis-premis lama milik agensi itu seperti bazar dan arked yang berusia lebih 30 tahun bagi menyediakan ruang niaga yang lebih kondusif bagi usahawan bumiputera.

Beliau berkata sejak inisiatif itu dilaksanakan pada tahun lepas, ia berjaya meningkatkan semula pendapatan usahawan bumiputera antara 20 hingga 30 peratus.

“Hari ini kita lihat banyak kedai dan pusat membeli-belah yang bangunannya moden sedangkan bangunan premis Mara yang dibina dahulu masih tidak berubah hingga menyebabkan gagal menarik minat pelanggan.

“Sebab itu, bangunan premis Mara yang telah usang dirobohkan dan dibina semula bangunan di tapak itu bagi memberi imej yang baharu,” katanya.

Sehingga kini, beliau berkata Mara berjaya mewujudkan lebih 7,000 peluang perniagaan dengan meliputi 160 bazar, 129 arked, 184 lot komersial, 21 Kompleks Industri Mara dan enam Taman Industri Halal di seluruh negara.– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");