Sukan Hari Ini

Marquez Takluk GP AS Kali Kelima

AUSTIN: Juara dunia tiga kali MotoGP, Marc Marquez meraih kemenangan kelima berturut-turut di Grand Prix Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi manakala pelumba termasyhur Itali, Valentino Rossi kini mendahului carta keseluruhan kelas utama itu.

Rossi menamatkan perlumbaan di tangga kedua dan tercicir tiga saat di belakang Marquez bagi merampas kedudukan di puncak carta selepas rakan sepasukannya di Yamaha, Maverick Vinales – juara dalam dua perlumbaan awal musim ini – terbabas di pusingan kedua.

Pelumba Itali itu kini mengumpul 56 mata selepas tiga perlumbaan manakala Vinales 50 mata dan Marquez berganjak ke tangga ketiga dengan 38 mata.

Marquez terbabas dalam perlumbaan sebelum ini di sirkit Termas de Rio Hondo, Argentina selepas mendahului dari petak permulaan namun kali ini tidak melakukan sebarang kesilapan untuk meraih gelaran kelimanya di Austin, Texas.

“Pada awal perlumbaan, saya cuba untuk kekal tenang kerana saya memilih untuk menggunakan tayar jenis keras di bahagian depan dan saya tidak tahu bagaimana rasanya… selepas (GP) Argentina, ia tampak begitu jauh tetapi kini kami berada di tahap diinginkan dan sangat rapat (persaingan),” kata Marquez.

Rossi dikenakan penalti 0.3 saat kerana melakukan kesalahan di selekoh tujuh tetapi membuktikan dirinya lebih pantas daripada rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa.

“Satu perlumbaan yang sangat sukar tetapi saya mampu untuk mengekori rapat pelumba Honda,” kata Rossi mengenai tindakan penalti itu yang dikenakan selepas dia dan muka baharu dari Perancis, Johann Zarco hampir bertembung dan mengambil tindakan mengelak.

“Kadangkala saya tercicir sedikit tetapi saya masih boleh kekal sama ada di atas atau di bawah sedikit (bersama mereka) kerana saya meraih beberapa mata di litar yang menjadi kekuatan (kegemaran) saya.

“Saya sangat gembira kami berada di puncak dan mengumpul banyak mata dan ini juga adalah catatan masa terbaik saya di Austin,” kata Rossi. – Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");