Sukan Hari Ini

Melaka United belum cukup bagus: Williams

JOHOR BAHRU: Pengendali Melaka United (MU), Eric Williams mengakui barisan pemainnya belum cukup bagus untuk mengharungi saingan Liga Super selepas dimalukan dengan kekalahan besar 0-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.

Sehubungan itu, pengendali MU ini tidak menolak kemungkinan akan menukar beberapa pemain untuk memastikan mereka kekal dalam saingan elit ini.

Williams menegaskan perancangan yang dibentuk untuk perlawanan itu dirancang dengan rapi namun pemainnya gagal menterjemahkan pada aksi berkenaan dan seolah-olah hilang arah.

“Jika pemain tidak mempraktikkan sistem dan beraksi dengan tenang, agak sukar untuk beraksi konsisten. Pemain tengah langsung tidak berfungsi dan saya terpaksa melakukan pertukaran pada minit ke-30 babak pertama.

“Malah jika ada pemain yang bersedia untuk mengharungi saingan liga, saya anggap mereka belum cukup bagus. Mungkin bakal ada pertukaran pemain bagi memastikan MU kekal di saingan Liga Super,” kata Williams.

Mengulas lanjut, katanya pemain MU seolah-olah tidak mengendahkan peringatannya supaya berhati-hati kebangkitan JDT yang tumpas dua perlawanan lalu sebelum beraksi menentang kelab bimbingan Benjamin Mora itu.

Walaupun pemainnya sudah melakukan yang terbaik namun JDT membuktikan pasukan itu lebih baik dan menguasai perlawanan sehingga sukar untuk menandingi kehebatan skuad Harimau Selatan itu.

“JDT menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri dan menghukum kesilapan pemain saya. Kami cuba bangkit tetapi masih belum mampu memberi saingan.

“Kami ditewaskan oleh pasukan yang lebih baik dan saya tergamam dengan kekalahan itu. Ini bukan permainan kami sebenar dan saya kecewa kerana persiapan yang dibuat cukup tersusun,” katanya, memetik sumber Berita Harian Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");