Berita Hari Ini

Mercy Malaysia Hantar Pasukan Kecemasan Ke Idlib

KUALA LUMPUR: Mercy Malaysia menghantar pasukan respons kecemasan (ER) ke wilayah Idlib di Syria semalam, susulan konflik perang saudara yang semakin meruncing di negara itu.

Pasukan empat sukarelawan termasuk dua doktor itu akan menilai situasi dan keperluan di Idlib, Syria selepas dakwaan penggunaan senjata kimia di Khan Sheikhoun, awal bulan ini.

Pasukan yang akan berada di wilayah bergolak itu hingga 24 April ini, juga akan memantau perkembangan projek kemanusiaan Mercy Malaysia di sempadan Turki-Syria.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata Mercy Malaysia sedang memantau rapat perkembangan di Idlib selepas dakwaan serangan senjata kimia yang disusuli serangan peluru berpandu Tomahawk AS.

“Kita amat sedih dengan laporan mengatakan pihak berperang gagal melindungi orang awam dan mematuhi Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amerika Syarikat menembak 59 roket Tomahawk ke Pangkalan Udara Shayrat pada 7 April lalu sebagai reaksi balas kepada serangan senjata kimia di Idlib yang didakwa didalangi kerajaan Syria.

Insiden serangan senjata kimia di Khan Sheikhoun, selatan Idlib itu dilaporkan mengorbankan 86 nyawa, termasuk 30 kanak-kanak.

Dr Ahmad Faizal berkata pasukan ER Mercy Malaysia juga akan menghantar bantuan ubat-ubatan ke hospital sekitar Idlib dan kawasan sempadan Turki-Syria.

“Hampir semua kemudahan kesihatan dan hospital di Idlib turut musnah dalam serangan empat hari sebelum dakwaan serangan senjata kimia (Khan Sheikhoun) itu,” kata Dr Ahmad Faizal, memetik sumber Berita Harian Online.

Mercy Malaysia turut menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan serta mengadakan program kemanusiaan di Reyhanli (Turki) dan Lembah Beeka (Lubnan) bagi membantu pelarian Syria.

Orang ramai yang ingin membantu pelarian Syria boleh menyumbang kepada Tabung Kecemasan Syria di laman web www.mercy.org.my.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");