Isu Panas

Muktamar Pentas Mencatur Strategi PRU14

ALOR SETAR:Berlatarbelakangkan PRU14, yang diramal tahun ini, parti-parti politik termasuk Pas tentunya menjadikan perhimpunan tahunan parti untuk mencatur strategi politik bagi menghadapi amalan demok-rasi yang menjadi penentu pemerintahan negara.

Pemerhati politik, terutama sekutu dan seteru parti, tentunya mengikuti teliti perkembangan Muktamar Pas ke-63, bermula Khamis ini bagi melihat bagaimana parti berteraskan Islam dan antara parti utama orang Melayu, menetapkan pendirian dalam hal-hal berkaitan kelangsungan Pas dan perjuangannya dalam landskap politik negara.

Banyak pihak menanti apakah keputusan muktamar akan memperlihatkan ketegasan Pas menamatkan hubungan kerjasama politik dengan parti pembangkang terutama PKR?

Pas tidak menganggotai gabungan Pakatan Harapan, yang dibarisi DAP, PKR, Bersatu dan Amanah, yang merupakan parti serpihan Pas. Atau mungkinkah pula Pas menjalin kerjasama dengan Bersatu, khususnya untuk menawan Kedah?

Sehingga kini, tiada keputusan konkrit oleh Pas mengenainya. Satu lagi persoalan ialah kerjasama Pas, yang pada 16 Mac 2016, mengumumkan membentuk blok ketiga politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), sebuah parti pelbagai kaum pimpinan bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil.

Ramai juga ingin menebak apakah Pas, yang dilihat berbaik-baik dengan Umno dalam hal-hal berhubung dasar kepentingan Melayu dan Islam, memberi keuntungan kepadanya untuk meraih sokongan jika ia bergerak sendirian pada PRU14.

Jika pada muktamar tahun lalu, barisan pemimpin Pas tampil berpakaian baju Melayu, lengkap bersamping, bertanjak dan berkeris semasa muktamar tahunan di Kota Bharu, simbolik ketegasannya dalam memperjuangkan kepentingan Melayu, apakah yang akan dipersembahkan pada kali ini. Berbezakah nada muktamar Pas kali ini?

Mengulas tahaluf siyasi Pas-PKR, Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum itu perwakilan di peringkat kawasan Pas lebih awal mencadangkan usul berkenaan.

“Namun yang menarik perhatian apakah jika muktamar buat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, bagaimana nasib mereka di Selangor?,” soalnya.

Beliau berpendapat, Pas akan terus kekalkan kerjasama politik di Selangor kerana khuatir tindakan memutuskan hubungan dengan PKR hanya akan merugikan Pas.

“Ia berkait dengan mandat rakyat apatah lagi beberapa Adun Pas menjadi Exco kerajaan negeri di Selangor. Jika hubungan ini diputuskan di Selangor, kemungkinan ia tidak direstui pihak istana dan rakyat yang membuat keputusan PRU lalu,” katanya.

Bagi pemerhati politik, keputusan berkenaan penting kepada Pas Kedah yang kini menaruh harapan dan keyakinan parti itu akan kembali merampas Negeri Jelapang Padi pada PRU14.

Apakah Pas akan bekerjasama dengan Bersatu, yang dikatakan membina kubu berikutan barisan kepimpinan kukuh di negeri itu, bagi merampas Kedah daripada Umno dan BN, penganalisis itu berpendapat perkara itu sukar direalisasikan.

Menurut Kamarul Zaman, bacaan politik melihat Pas selesa bergerak sendirian bagi menghadapi PRU14 tetapi akan mengalu-alukan parti lain yang mahu bekerjasama dengan Pas atas nama Islam.

“Pada PRU kali ini, masing-masing akan mempunyai strategi tertentu dan kali ini rakyat atau pengundi di Kedah, sudah tentu akan membuat penilaian parti manakah yang mahu dipilih,” katanya

Kamarul Zaman berkata, pemimpin Pas awal-awal lagi menolak Bersatu setelah parti itu menjalin kerjasama dengan DAP untuk PRU.

“Mana mungkin ia boleh berlaku di Kedah. Tetapi apa pun dalam politik semuanya boleh berlaku dan keputusan muktamar akan menjadi penentunya nanti,” katanya.

Muktamar tahunan, yang menyaksikan pemilihan parti, bermula dengan muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat sebelum muktamar Pas Pusat bermula pada Sabtu, dilihat bebas daripada kontroversi kepimpinan mahupun isu besar lain.

Gandingan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, masing-masing telah menang tanpa bertanding. Abdul Hadi, 69, memegang jawatan Presiden Pas sejak 2002 menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor, manakala Tuan Ibrahim, 56, memegang jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Legasi kepimpinan Abdul Hadi diperkukuh apabila anaknya Muhammad Khalil menang tanpa bertanding untuk menerajui Dewan Pemuda Pas.

Yang menjadi tumpuan kini adalah tiga jawatan naib presiden yang menjadi rebutan empat calon termasuk penyandang Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan; Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang; Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor dan Exco Kerajaan Negeri Selangor; dan Nasruddin Hassan yang juga Ketua Penerangan Pas dan ahli parlimen.

Jelas Kamarul Zaman, pemilihan parti pada kali ini, mengutamakan kepimpinan ulama, dilihat meletakkan parti dalam status quo, tiada perpecahan meskipun krisis dalaman.

“Parti itu telah matang dan pembersihan berlaku sebelum ini apabila ramai pemimpin yang keluar parti selepas tewas dalam pemilihan pada muktamar sebelum ini,” katanya merujuk kepada penubuhan Amanah.

Seramai 40 pemimpin lain dicalonkan untuk merebut 18 jawatan anggota jawatankuasa Pas Pusat, untuk dipilih kira-kira 1,200 perwakilan yang menghadiri muktamar tahunan itu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");