KUALA LUMPUR: Seramai 102 pelajar sekolah rendah dan menengah, disaman kerana pelbagai kesalahan jalan raya dalam Op Didik yang dijalankan, pagi ini.
Memetik sumber Berita Harian Online, dalam operasi lebih sejam di empat sekolah sekitar Selangor itu, pihak berkuasa turut mengeluarkan saman kepada 33 ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad, berkata operasi bermula jam 6.30 pagi hingga jam 8 pagi itu dilakukan di hadapan beberapa sekolah dalam Daerah Ampang Jaya, Subang Jaya dan Sepang.
Dalam operasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Permai, Ampang Jaya, seramai 13 pelajar disaman kerana tidak mempunyai lesen memandu, 31 pelajar tidak memakai topi keledar dan tiga lagi tiada cukai jalan, selain menyita sebuah motosikal.
“Di SMK Dengkil, Sepang, 14 pelajar disaman atas kesalahan tiada lesen memandu, tujuh tidak memakai topi keledar, nombor pendaftaran fancy (dua) serta satu kesalahan tidak mempamerkan pelekat L dan P.
“Di SMK dan Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Perdana, 31 saman dikeluarkan terhadap pelajar atas dua kesalahan iaitu tiada lesen memandu (14) dan tidak memakai topi keledar (17),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, 38 saman dikeluarkan kepada 33 ibu bapa atas kesalahan tidak memakai topi keledar (25 saman), tiada lesen memandu (lapan), cukai jalan tamat tempoh (tiga) dan tiada insurans (dua).
Op Didik dilaksanakan bagi mendidik pelajar dan ibu bapa yang selama ini tidak mengendahkan peraturan jalan raya.