Isu Panas

Pas terus bawa agenda RUU 355

TEMERLOH: Pas akan terus membawa agenda pindaan RUU 355 biar apa pun halangan dan menegaskan semua Ahli Parlimen Melayu Islam wajib menyokong pindaan itu bila ia dibawa Presiden Pas nanti.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kawasan Temerloh, Hasanuddin Salim berkata, ahli Pas rata-ratanya bersama dengan keputusan parti sama ada pindaan itu berjaya atau sebaliknya ia tidak merugikan Pas.

“Umno dan BN yang masih berpegang kepada warisan pemikiran sekular, cuma sekarang di atas tekanan rakyat yang semakin Islamik parti itu terpaksa tunjuk mereka juga mahukan Islam walaupun ia bukan kehendak sebenar mereka.

“Kepada ahli Umno yang ada kesedaran Islam dan cintakan Islam mestilah mengubah pendirian mereka untuk bersama-sama Pas bagi memastikan Islam dapat ditegakkan,” katanya memetik sumber Sinar harian.

Hasanuddin berkata, golongan sekular, sosialis dan kebangsaan sememangnya gelisah dan bimbang dengan perkembangan Islam di negara ini kerana mereka bersatu untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara sekular yang jauh dari melaksanakan perundangan Islam.

“Perkara yang paling menakutkan golongan itu ialah perlaksanaan syariah sedangkan dalam keadaan sekarang undang-undang syariah sememangnya amat diperlukan untuk membendung jenayah seperti anak luar nikah, buang bayi, zina dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Temerloh Md Jusoh Darus berkata, jika parti pemerintah boleh menaik taraf undang-undang lain, mengapa pula tidak menaik taraf Mahkamah Syariah khusus untuk menjaga orang Islam.

“Orang Umno sepatutnya berubahlah, fikirkan kembali kedudukan dan sokongan kepada parti berkenaan atau segera menyertai Pas untuk perjuangan Islam dan membela Melayu.

“Umno sebagai parti tulang belakang BN sepatutnya kuat untuk meyakinkan semua parti komponen supaya kerajaan boleh mengemukakan usul pindaan RUU 355 ini seperti masa dahulu,” katanya.

Md Jusoh yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, Pas akan terus membawa agenda pindaan RUU 355 biar apa pun halangannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");