Jenayah

Pegawai Imigresen Tak Mengaku Rogol Warga Thai

ALOR GAJAH: Seorang pegawai Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mengugut seorang wanita warga Thailand di Depoh Tahanan Machap Umboo, Mac lalu.

Memetik sumber Berita Harian Online, Chua Siong Kiat Frankie, 31, dari Pasir Mas, Kelantan membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa di bilik pemeriksaan badan wanita Pejabat Depoh Tahanan Machap Umboo, jam 1 tengah hari, pada 9 Mac lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Siong Kiat didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa sama pada jam 1.10 tengah hari di lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa mengugut mangsa pada jam 1.15 tengah hari di lokasi serta tarikh sama dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, jika mahkamah menggunakan budi bicara.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama dan masih berkhidmat sebagai penjawat awam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan serta menetapkan 8 dan 9 Mei depan sebagai tarikh mengambil keterangan mangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");