Berita Hari Ini

Pelajar OKU Cemerlang Jadi Sumber Inspirasi Sekolah

IPOH: Kejayaan pelajar orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit tulang rapuh, Ng Mei Yin, 18, memperoleh 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu, menjadi sumber inspirasi pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan Perak, di sini.

Atas kejayaannya itu juga, Mei Yin menjadi antara bekas pelajar sekolah itu yang diberi penghormatan menerima sijil penghargaan pada Majlis Anugerah Cemerlang sekolah berkenaan hari ini.

Lebih manis, detik kegembiraan itu dikongsi bersama ibunya, Low Choi Sin, 52, yang menolak kerusi roda anaknya itu memasuki dewan untuk menerima sijil berkenaan.

Mei Yin mengalami penyakit masalah tulang rapuh atau Osteogenesis Imperfecta (OI) sejak lahir, namun penyakit itu hanya dikesan ketika dia berusia 10 tahun.

Pada peperiksaan lalu, dia memperoleh A bagi mata pelajaran Perakaunan, Matematik, Sains, Ekonomi dan Pendidikan Moral.

Mei Yin ketika ditemui berkata, sejak kecil tangan dan kakinya sukar digerakkan dan ibunya terpaksa mendukungnya setiap hari ke sekolah rendah hingga di tingkatan dua, selain menghantar makanan ke sekolah.

“Kehidupan sebagai pelajar OKU memang tidak mudah, saya sukar bergerak dari blok ke blok di sekolah, boleh berdiri tapi terpaksa berpaut, namun saya tetap mahu berjaya dalam hidup,” katanya, memetik sumber Berita Harian Online.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui pernah berputus asa, namun kembali bangun dengan kata-kata semangat ibu dan sokongan guru kesayangannya, Cikgu Suhaila.

“Saya sedar ada yang tidak berapa suka dan senang dengan kehadiran saya, mereka ada kalanya tidak memahami (masalah) tetapi saya juga tidak meminta untuk dijadikan sebegini,” katanya.

Mei Yin memaklumkan bakal melanjutkan pengajian dalam ijazah Perakaunan di Quest International University Perak (QIUP) di sini dan bercita-cita menjadi akauntan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");