Jenayah

Pemegang Amanah Yayasan Bumiputera Dibebas Dengan Jaminan SPRM

GEORGE TOWN: Seorang pemegang amanah sebuah yayasan berkepentingan Bumiputera bergelar ‘Datuk’ yang ditahan bagi siasatan atas dakwaan menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri, dibebaskan daripada tahanan reman, Isnin.

Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Majistret Pulau Pinang Ahmad Tajudin Zain membenarkan ahli perniagaan berumur 70 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin.

Lelaki itu direman lima hari bermula 30 Mac lepas dan tempoh reman berkenaan berakhir hari ini.

Terdahulu ahli perniagaan tersebut yang lengkap berpakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, di sini kira-kira 10.30 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.

Selepas prosiding selama 30 minit di bilik pendaftar, lelaki berkenaan dibawa menaiki kenderaan sama untuk dibawa ke pejabat SPRM Pulau Pinang, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Lelaki itu diwakili peguam Reza Rahim, Ong Yu Shin, B. Jeyasingam dan N.Rajiwan.

Lelaki itu ditahan SPRM pada kira-kira 8.30 malam 29 Mac lepas, di sini kerana dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan sejak beberapa tahun lepas.

Menurut sumber beliau dipercayai menjual tanah milik anak syarikat yayasan itu kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan harga jauh lebih rendah daripada harga asal tanpa melalui proses dan tatacara yang telah ditetapkan oleh anak syarikat yayasan berkenaan.

Selain itu, lelaki itu yang merupakan pemegang amanah dan pengarah dalam anak syarikat yayasan itu disyaki membuat keputusan untuk menjual tanah-tanah berkenaan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat yayasan.

Beliau dipercayai akan mendapat sekurang-kurangnya satu peratus daripada nilai tanah yang dijual sebagai habuan. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");