Isu Panas

Pemimpin Wassatiyah Tidak Semestinya Berpayungkan Parti Islam

Pemimpin yang mempunyai nilai wassatiyah tidak semestinya wujud dikalangan individu yang memperjuangkan undang-undang Islamik ataupun parti politik. Sebaliknya ia wujud berlandaskan prinsip diri yang berteraskan kesederhanaan dalam apa jua bentuk kerja, sama ada dalam aspek politik mahupun tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Keberadaan seseorang pemimpin dalam sesebuah parti politik yang berpayungkan Islam tidak bermakna dia faham serta mengaplikasikan sikap-sikap Islamik. Terdapat ramai pemimpin di negara ini yang membawa gerakan liberal namun berselindung disebalik perjuangan Islam.

Seorang pemimpin Islam perlu mendalami dan fahami Al Quran terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk memperjuangkan serta menggubal undang-undang Islam. Islam itu mudah.

Peguam dan pengasas Rakyat Penyelamat Negara, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mempunyai prinsip tersendiri mengenai perkaitan Islam dengan pemimpin di negara yang mempunyai kepelbagaian kaum.

Dipetik di akhbar The Star baru-baru ini, Jahaberdeen menganggap untuk mengubah minda dan daya pemikiran rakyat terhadap politik negara, pemimpin itu sendiri perlu berubah kearah individu yang lebih tinggi nilai wassatiyahnya dengan mementingkan belas kasihan.

Sekiranya seseorang pemimpin itu menjadikan kesederhanaan dan belas kasihan sebagai tunjang pentadbiran mereka nescaya rakyat akan lebih mudah difahami dan mempercayai kepimpinan tersebut.

Bercakap mengenai RUU355, bagi Jahaberdeen, dari segi undang-undang, tiada isu mengenai penggubalan undang-undang tersebut kerana secara demokrasi ia dibenarkan.

“Sama ada ia akan diluluskan atau tidak,itu bergantung kepada Parlimen. Tetapi oleh kerana ia berkaitan Islam maka saya mahu melihat lebih ramai Ulama’ bercakap mengenai perkara ini dan memberi pandangan Islam.

“Mereka bercakap mengenai rang undang-undang yang menuntut 30, 80, 100 sebatan, tetapi ia tidak memasukkan unsur kemaafan. Saya tidak pasti pemimpin sedar atau tidak bahawa untuk setiap kesalahan disebut dalam Al-Quran, ada juga satu unsur kemaafan.

“Sebagai seorang Islam, saya mempersoalkan perkara ini. RUU seperti yang saya faham  tidak memasukkan elemen penyesalan dalam perhakiman walaupun seseorang itu telah disabitkan dalam Kanun Jenayah.

“Menerusi undang-undang sedia ada apabila di sabit di bawah Kanun Jenayah, maka seorang hakim mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman tetapi ini tidak disediakan dalam RUU355.

“Bagi saya, undang-undang sedia ada lebih mengaplikasi prinsip-prinsip Al-Quran manakala tidak ada unsur-unsur ini dalam RUU355,” katanya.

Menurut beliau, pemimpin Negara sepatutnya berfikir dan bertindak menjangkaui batasan label politik dengan dan melihat sama ada undang-undang yang digunapakai sekarang konsisten dengan Al-Quran dan prinsip Hadis yang paling tulen dan tidak.

“Daripada pemimpin negara mengatakan bahawa undang-undang sivil sebagai tidak Islamik dan undang-undang Syariah sedia ada mengamalkan prinsip-prinsip Islamik maka adalah lebih baik mereka berfikir semula.

“Bagi saya, sekurang-kurangnya 90% daripada perlembagaan yang termaktub di Negara kita ini berlandaskan Islam. Kebanyakan daripada undang-undang sivil diluluskan di Parlimen Islam.

“Walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak berlandaskan prinsip Islam namun ia telah dibubarkan,” katanya lagi.

Jahaberdeen menambah, dalam Surah Al-Isra, Allah mengajar kita untuk mempersoal, melakukan penyelidikan, dan jangan menerima sesuatu sekiranya kita tidak boleh mengesahkannya terlebih dahulu.

“Saya bimbang kerana terdapat terlalu banyak gerakan dan fahaman politik tentang Islam.

“Adalah sesuatu yang kejam apabila pemimpin menipu rakyat dengan menggunakan tuhan untuk menakutkan umat Islam yang akan menyokong sesuatu dengan label ‘Islam’.

“Untuk berkhidmat  kepada Allah, umat Islam perlu dibebaskan dari manusia yang berlagak seperti tuhan di Bumi.

Katanya lagi, masalah yang berlaku pada sebuah negara yang mengamalkan teokrasi adalah ia menindas kepercayaan.

Jelas beliau, sesetengah pemimpin menganggap kemajmukan serta kepelbagian budaya dan etnik sebagai suatu penentangan terhadap Islam.

“Ia merupakan sesuatu yang tidak benar.  Masih ada jalan yang lebih baik, mereka perlu mendalami Al Quran,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");