Perak Hari Ini

Pemuda Umno Mahu Operasi Pusat Judi Dibanteras

KUALA KURAU: Ekoran berleluasanya operasi pusat permainan mesin judi dan judi atas talian di daerah Kerian, Pemuda Umno Bahagian Parit Buntar telah melancarkan petisyen bantahan melalui tandatangan seluruh rakyat di kawasan Parlimen itu.

Ketua Pemuda Umno Parit Buntar, Mu’ammar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, tujuan petisyen itu dilancarkan adalah untuk mengadakan kutipan tandatangan melibatkan keseluruhan ahli Pemuda Umno bahagian itu di setiap cawangan, bermula dengan cawangan Kampung Masjid Batu.

“Sehingga kini, pihak kami telah berjaya mengumpul hampir 2,000 tandatangan yang bukan sahaja melibatkan ahli Pemuda Umno bahagian semata-mata, malah turut melibatkan penduduk Parlimen Parit Buntar yang prihatin.

“Kita akan meneruskan usaha ini sehingga mesyuarat agung Umno peringkat pemuda Umno cawangan berakhir pada bulan Ramadhan akan datang,” katanya.

Tambah beliau, setelah petisyen ini mencapai sasarannya, pihaknya akan menyerahkan petisyen tersebut kepada pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau juga, pihaknya mengenal pasti terdapat beberapa pusat judi yang dipercayai beroperasi sebelum ini di Pekan Kuala Kurau, Kampung Parit Mat Ali, Tanjung Piandang serta Pusat Bandar Parit Buntar melalui maklumat yang pernah mereka terima.

Walaubagaimanapun, operasi serbuan yang telah dilakukan oleh pihak polis ke lokasi pusat judi mesin tersebut menyebabkan kesemua pusat judi itu ditutup.

“Namun, ada khabar angin bahawa kesemua pusat judi mesin dan atas talian yang diserbu sebelum ini, bakal beroperasi semula dalam masa terdekat dan perkara ini amat membimbangkan penduduk setempat.

“Oleh itu, saya menggesa kesemua agensi kerajaan berkaitan bekerjasama dalam memastikan tindakan penguatkuasaan ke atas premis-premis menyalahi lesen hiburan keluarga tersebut bersifat kekal,” katanya.

Mu’ammar berkata, walaupun petisyen kutipan tandatangan dilancarkan Pemuda Umno Parit Buntar, pihaknya menyeru semua rakyat Parlimen Parit Buntar turut serta menurunkan tandatangan tanpa mengira fahaman politik, latar belakang dan perbezaan agama.

“Kewujudan dan operasi pusat judi mesin dan ‘online’ sebegini sebenarnya memberi impak buruk kerana menggalakkan budaya berjudi dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu, ia turut membawa kepada masalah impak sosial lain seperti masalah rumahtangga, jenayah dan sebagainya.

“Selain mengumpulkan tandatangan melalui mesyuarat Umno cawangan, Pemuda Umno Parit Buntar juga akan menggerakkan ahli ke masjid-masjid bagi mengajak semua rakyat bersatu membantah kewujudan pusat judi,” ujar beliau.

Walaupun perjalanan mesyuarat agung Umno peringkat pemuda cawangan baru bermula, Mu’ammar menjangkakan isu bantahan terhadap pembukaan pusat judi mesin dan judi atas talian bakal menjadi usul utama dibangkitkan setiap cawangan pemuda Umno bahagian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");