Perak Hari Ini

Penantian Selama 40 Tahun Penduduk Kg Sg Chawang Berakhir

TELUK INTAN: Penantian selama 40 tahun penduduk Kampung Baru Sungai Chawang yang tidak menerima kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air terjawab apabila mendapat kemudahan elektrik melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang hadir melawat ke tapak projek berkenaan berkata, projek itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik kepada kediaman yang berada di luar bandar.

“Ini adalah salah satu usaha pihak kerajaan dalam memastikan semua nasib rakyatnya dijamin dan terbela. Saya mengambil pendekatan jangan ada mana-mana rakyat yang tertinggal dan terpinggir untuk mendapat apa-apa kemudahan yang disediakan.

“Bersempena dengan permukiman ini saya mahu berjumpa rakyat untuk selesaikan masalah rakyat, bukannya saya mahu datang makan atas meja dan dilayan seperti VIP,” katanya ketika hadir bagi program ziarah kasih dan lawaran tapak projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Kampung Baru Sungai Chawang, hari ini.

Projek yang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW) ini menelan belanja sebanyak hampir RM 1 juta.

Sebanyak 16 buah rumah telah mendapat bekalan elektrik setelah kerja-kerja pemasangan meter di rumah kediaman penduduk siap empat hari yang lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai usaha untuk memberi kemudahan bekalan air kepada penduduk, Zambry berkata pihaknya telah pun mengadakan perbincangan untuk mencari langkah yang sesuai dalam menyelesaikan masalah ini.

“Kerajaan mengambil serius perkara ini, kita beradang untuk menggunakan pendekatan dengan mengambil air bawah tanah di mana air ini lebih bersih tetapi perkara ini masih dalam perbincangan.

“Kos awal yang ditafsirkan bagi kerja-kerja pembekalan air ini adalah sebanyak RM 6 juta namun saya telah meminta kepada pihak Lembaga Air Perak (LAP) untuk mencari kaedah yang terbaik untuk kita mencari sumber air bawah tanah yang bersih untuk diproses dan dibekalkan kepada penduduk,” katanya.

Tambah beliau juga, LAP telah bekerjasama dengan pihak Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kajian ke atas sumber air di kawasan ini bagi memastikan tahap kebersihan air tersebut.

“Sebentar tadi saya juga telah di beri penerangan secara ringkas bahawa melalui kajian yang telah dijalankan, kandungan air di sini tidak mengandungi sebarang bakteria yang boleh membahayakan penduduk.

“Kerja-kerja ini akan dimulakan secepat mungkin setelah kita mendapat keputusan akhir dari sampel-sampel air yang telah diambil,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong, ADUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, Pengurus Besar TNB Perak, Raja ABdul Jalil Raja Zaid dan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");