Berita Hari Ini

Pensyarah kurang pengalaman, kesan kepada pelajar

KUALA LUMPUR: Seorang tokoh akademik melahirkan kebimbangan dengan situasi pensyarah universiti tempatan yang dikatakan kurang pengalaman industri kerana ia boleh menjejaskan kualiti siswazah.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, situasi itu boleh memberi impak buruk kepada kebolehpasaran para siswazah untuk memperoleh pekerjaan sejurus mereka menamatkan pengajian di menara gading.

“Bagaimana para siswazah mahu menempuh alam pekerjaan dan kehidupan yang penuh mencabar jika hanya diajar ilmu teori oleh pensyarah mereka.

“Ilmu teori sahaja tidak cukup untuk membantu pelajar itu memahami selok belok dunia pekerjaan apatah lagi bagi melahirkan pelajar yang lebih holistik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai punca kepada masalah pengangguran yang masih lagi membelenggu para siswazah universiti tempatan ketika ini.

Sahol Hamid berkata, keadaan itu sangat berbeza dengan dahulu apabila pensyarah memiliki pengalaman industri untuk membimbing pelajar universiti agar lebih mahir dalam bidang pengajian mereka.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Destini Anak Bangsa itu juga berkata, di universiti luar negara, kebanyakan pensyarah memahami apa yang sedang berlaku dalam industri untuk dibekalkan kepada para siswazah.

“Inilah trend yang berlaku sekarang di luar negara kerana ramai pensyarah mereka memiliki pengalaman industri dan saya berharap Malaysia juga mampu mempunyai lebih ramai lagi pensyarah yang memiliki pengalaman sama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membuat kajian lebih mendalam mengenai isu berkenaan dan usaha menanganinya.

Beliau pada masa sama berharap semua pihak dapat menerima pandangannya dengan hati terbuka dalam usaha melahirkan siswazah berkualiti tinggi dan lebih berinovatif yang mampu memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

“Mungkin ada pihak yang terasa tetapi itulah masalah yang dihadapi sekarang kerana orang kita ini cepat merajuk…jika begitu bagaimana kita mahu maju,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");