Berita Hari Ini

Penuntut Malaysia Jangan Sesekali Terlibat

SEPANG: Penuntut Malaysia di Mesir terutama di Tanta dan Iskandariah, dinasihatkan tidak berinteraksi dengan isu-isu yang boleh menimbulkan perbalahan berkaitan negara itu di media sosial.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan membincangkan perkara sedemikian di media sosial dikhuatiri akan menyebabkan penuntut Malaysia terdedah kepada anggapan mereka ancaman kepada keselamatan di Mesir.

“Kadangkala apabila di media sosial seperti dalam Facebook, seseorang tanpa sengaja akan membuat komen sama ada dalam bahasa Melayu, Arab atau Inggeris.

“Saya minta sangat-sangat supaya mereka (penuntut Malaysia) berhati-hati terutama ketika berinteraksi dalam rangkaian media sosial,” katanya.

Reezal Merican berkata demikian selepas menyampaikan draf bank pinjaman pendidikan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berjumlah RM1.1 juta kepada 12 penuntut tahun akhir di Mesir yang diwakili ibu bapa masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam.

Lima wakil GPMS berlepas ke Mesir semalam, untuk membawa draf bank pinjaman pendidikan itu kepada 12 penuntut terbabit, kebanyakannya penuntut persendirian jurusan perubatan dan pergigian, yang berdepan dengan masalah kewangan.

Sementara itu, Reezal Merican turut menasihatkan penuntut Malaysia di Mesir supaya mengelak berjalan dalam kumpulan kecil dan menghampiri premis berisiko seperti pusat hiburan, pusat beli-belah, bangunan kerajaan dan rumah ibadat.

Menurutnya, Kementerian Luar memantau rapi perkembangan di Mesir dan sentiasa berhubung dengan wakil penuntut di sana.

“Setakat ini, belum ada keperluan untuk membawa pulang penuntut Malaysia dari negara tersebut,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 11,000 penuntut Malaysia melanjutkan pelajaran di Mesir. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");