Isu Panas

Pertelagahan pembangkang, kemenangan buat BN

SHAH ALAM – Penganalisis politik Fakulti Sains Sosial, Unimas, Dr Jeniri Amir berpendapat keadaan pembangkang yang kelihatan bertelagah sesama sendiri dan sukar untuk mencapai kata sepakat dilihat sebagai tiket kemenangan BN untuk PRU14 nanti.

Malah beliau mendakwa kerjasama antara pembangkang amat penting untuk tumbangkan BN.

“Pada pendapat saya, kemenangan BN boleh dikatakan pasti jika pembangkang tidak dapat bersatu kerana apa yang berlaku sekarang menyaksikan komponen pembangkang sering kali bertelagah dan sukar untuk capai tahap kerjasama padu.

“Sedangkan syarat utama untuk pembangkang mengambil alih Putrajaya adalah kerjasama erat di antara semua pihak pembangkang untuk menjatuhkan BN,” katanya memetik sumber Sinar Online.

Pas burukkan keadaan

Tambah Jeniri lagi, sikap Pas yang berdegil tidak mahu bekerjasama dengan pembangkang lain lebih memburukkan keadaan sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

“Sebenarnya, pembangkang masih mempunyai harapan tetapi jika Pas masih lagi berdegil dan tetap dengan pendirian serta tidak boleh bertolak ansur langsung, maka pembangkang akan hadapi masa yang sukar semasa PRU 14 nanti.

“Nyata, keadaan seperti inilah yang ditunggu BN tambahan pula jika Pas tetap tidak berkompromi dengan pembangkang lain maka pertembungan tiga penjuru akan terjadi dan keadaan akan lebih berpihak kepada mereka,” katanya lagi.

Kesalahan di bahu Pas jika pembangkang kalah

Katanya lagi, wajar kesalahan diletakkan di bahu Pas sekiranya pembangkang gagal untuk tawan Putrajaya pada PRU14 nanti.

“Pas wajar dipersalahkan jika pembangkang kalah PRU 14 kerana mereka berdegil dan tidak mahu bekerjasama dengan komponen pembangkang lain.

“Mungkin Pas lupa hakikat kemenangan yang dikecapi pada PRU 12 sebelum ini semuanya kerana ada kerjasama dengan pembangkang yang lain.

“Sikap mereka ini sama seperti kacang lupakan kulit,” tambahnya lagi.

Perlu kemuka naratif politik

Menurutnya, dengan keadaan sekarang, pembangkang perlu kemukakan naratif politik untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada mereka.

“Naratif politik ini perlu untuk beri tunjukkan pada rakyat sebagai bukti komitmen mereka untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai,” katanya.

BN ambil peluang dari situasi ini

Sementara itu, BN akan terus mengambil peluang ini dan melihat sejauh mana komponen pembangkang akan terus bertelagah sesama sendiri.

“Terutamanya ketika berkempen, BN akan membandingkan bagaimana ada pembangkang yang bersikap mementingkan diri tanpa memikirkan apa yang perlu dilakukan dalam mencapai kata sepakat yang utuh sesama mereka,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");