Jenayah

Pil Kuda RM4.7 Juta Dirampas Di Rantau Panjang

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas dadah dipercayai jenis pil kuda bernilai RM4.7 juta di sebuah rumah yang dijadikan pangkalan haram dekat sempadan Kelantan-Thailand, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, rampasan 474,000 biji pil kuda itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai daripada Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di kawasan pangkalan haram di pinggir Sungai Golok itu pada 7.15 malam.

“Seorang lelaki iaitu pembawa bot penambang dilihat memunggah kotak ke sebuah rumah tidak berpenghuni di tebing Sungai Golok.

“Sepasukan anggota PGA itu kemudiannya bertindak menyerbu ke dalam rumah dan menemui dadah yang diisi dalam tiga guni,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Sabtu.

Din berkata lelaki tempatan berusia 51 tahun yang ditahan itu mendakwa dia hanya mengambil upah mengangkut dadah terbabit.
Katanya lelaki itu ditahan reman selama seminggu mulai Khamis lepas untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata rampasan tersebut adalah yang terbesar dilakukan oleh polis Kelantan setakat ini pada tahun ini.

“Kita akan menyiasat lebih lanjut bagi mengenal pasti dalang utama sekiranya benar dakwaan yang dibuat oleh suspek yang dia hanya pembawa dadah itu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan jumlah dadah yang banyak itu, kemungkinan pasaran dadah adalah di Kelantan dan negeri lain termasuk Terengganu. — Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");