Perak Hari Ini

Program Pintar Akademik Wakaf Ilmu – Mumtaz: Bantu Pendidikan Anak-Anak Yatim Dan Miskin

IPOH: Majlis pelancaran Program Pintar Akademik Wakaf Ilmu – Mumtaz anjuran Waqaf Perak Ar-Ridzuan melalui kerjasama Majlis Agama Islam Dan `Adat Melayu Perak (MAIPk), Pusat Pintar Sains dan Matematik (PPSM) dan Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) telah diadakan di Pusat Pintar Sains dan Matematik pada Sabtu lalu.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf, Suhaimi Yusoff dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPSM, Hj Abdul Rahman Najib Hj Mohd Noor.

Pada majlis tersebut, sumbangan wakaf tunai sebanyak RM 20,000 oleh pihak MAIPk telah disampaikan bertujuan bagi pelaksaan Program Pintar Akademik Wakaf Ilmu – Mumtaz di mana program ini adalah salah satu daripada Program Mumtaz di bawah Waqaf Perak Ar-Ridzuan.

Program ini distrukturkan sebagai program bimbingan kelas bagi menjana kecemerlangan para pelajar dengan ilmu pengetahuan melalui pembelajaran di luar waktu sekolah.

Secara tidak langsung ia menjadikan program ini sebagai wadah perkembangan pembelajaran dan pengajaran (P&P), merangkumi peranan guru sebagai pendidik dan pelajar sebagai penuntut ilmu.

Disamping para peserta mengikuti kelas akademik, beberapa modul seperti Solat Dhuha, Seminar Keilmuan, Program Motivasi/Teknik Cemerlang turut diadakan bagi memantapkan jati diri dan membentuk insan yang terpuji.

Program ini telah bermula pada 4 Februari 2017 dan disertai oleh 37 orang pelajar yang dijalankan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sebagai kelas tambahan kepada pelajar tingkatan tiga yang bakal menduduki peperiksaan PT3.

Kelas tambahan ini juga akan berlangsung sehingga hujung tahun 2017.

Para peserta terdiri daripada golongan anak-anak yatim dan anak-anak fakir atau miskin yang dipilih daripada beberapa buah sekolah di daerah Ipoh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");