Berita Hari Ini

Puisi “Penyembah Lembu” Rujuk Kerajaan Modi – Dr Asri

PETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan puisi “penyembah lembu” yang dihasilkannya merujuk kepada acara yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan Modi di India, sama sekali bukan untuk menghina penganut agama Hindu di negara ini.

Mohd Asri, yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, ungkapan ‘mempertuhankan lembu’ dalam puisi tersebut memperkatakan tentang kerajaan di India yang membiarkan Muslim saban hari dibunuh dengan kejam hanya kerana makan daging lembu.

Katanya, suasana itu seakan sengaja diwujudkan oleh kerajaan Modi atas dasar kesucian haiwan itu mengikut agama Hindu.

“Anda boleh lihat artikel dan video dalam internet yang begitu banyak tentang kekejaman mereka kerana ‘mempertuhankan lembu’ dalam erti kata mensucikannya.

“Sanggup mereka membunuh kejam sesama manusia hanya kerana haiwan lembu yang memang dimakan di seluruh dunia,” katanya dalam posting Facebook pada Sabtu mengenai insiden yang berlaku di barat India itu.

Pada Jumaat, Mohd Asri telah menyiarkan sebuah puisi bahasa Melayu di laman Facebooknya.

Ia dipercayai sebagai tindak balas kepada bantahan masyarakat India terhadap status Pemastautin Tetap (PR) yang diberikan kepada pendakwah Islam kontroversi Dr Zakir Naik.

Beliau berkata, puisi itu adalah untuk suasana semasa di India dan berharap mereka yang tidak mempertuhankan lembu di negara ini seperti yang sedang berlaku di India, ‘jangan terasa’.

“Saya percaya dalam negara kita yang rata-rata berpendidikan tinggi tidak mungkin akan menyembah haiwan seperti lembu, atau pun mensucikannya.

“Apatah lagi sehingga sanggup membunuh orang lain kerananya. Akal yang waras mustahil menerima hal seperti itu,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku ini adalah sama dengan manusia waras menolak kepercayaan kasta antara manusia seperti yang berlaku di India sehingga ada kasta yang dipanggil ‘pariah’.

“Maka hal itu tiada kaitan dengan orang di sini yang tidak mungkin ‘beriman’ dengan hal-hal karut seperti itu,” katanya memetik laporan Mstar Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");