Berita Hari Ini

RM3.1b Pemberian Kerajaan Pusat Kepada Sabah

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata, jumlah keseluruhan geran atau pemberian kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sabah sejak 2014 hingga 2016 berjumlah RM3.116 bilion.

Beliau berkata, peruntukan yang disediakan kerajaan persekutuan itu bertujuan bagi membantu negeri dalam perbelanjaan mengurus dan sebahagian kecil digunakan untuk pembangunan.

“Menerusi rekod pemberian yang diterima kerajaan negeri ialah pemberian khas, pemberian jalan negeri, pemberian mengikut kiraan kepala, pemberian pertambahan hasil bahagian I dan II, pemberian berasaskan tahap pembangunan ekonomi infrastruktur dan kesejahteraan hidup dan pemberian pembiayaan perbelanjaan mengurus bagi jabatan-jabatan di bawah senarai bersama.

“Selain itu pemberian yang diterima ialah sumbangan kepada kos pelaksanaan projek pembangunan persekutuan, pemberian bagi membiayai perbelanjaan mengurus Lembaga Muzium, pemberian untuk menggantikan cukai import/eksais atas barangan petroleum dan pemberian sumbangan bagi membiayai perbelanjaan mengurus Perpustakaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Roland Chia (PKR-Inanam) yang ingin tahu berapa geran dan pembiayaan terus yang diterima kerajaan negeri daripada kerajaan persekutuan pada 2014, 2015 dan 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Ramlee berkata, jumlah pembiayaan terus yang diterima daripada kerajaan persekutuan dalam tempoh itu adalah kira-kira RM1.3 bilion dan ia tidak termasuk jumlah lain akaun amanah yang belum dapat dipastikan nilai sebenarnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Roland yang bertanyakan tentang hutang kerajaan negeri ketika ini yang berjumlah RM2.6 bilion, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Sabah mempunyai rekod terbaik dalam membayar balik hutang.

“Kita ada berhutang dengan kerajaan pusat dan itu perkara biasa kerana ia juga dilakukan oleh negeri lain. Kita ada peraturan…bila kita pinjam, kita perlu bayar sama ada membayar awal atau membayar pada masa yang ditetapkan.

“Selain itu apa sahaja bantuan peruntukan yang diperlukan oleh kerajaan negeri, saya tidak teragak-agak untuk jumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan selalunya apa yang kita perlukan untuk negeri dan rakyat akan diberi kelulusan,” tambahnya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");